SJKC Min Sin, SMJK Jit Sin ungguli pertandingan kawad kaki BSMM

img 20250823 wa0049

MACHANG BUBOK – Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Min Sin dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Jit Sin masing-masing muncul juara Pertandingan Kawad Kaki Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Peringkat Negeri Pulau Pinang 2025 selepas diumumkan sebagai johan bagi kategori sekolah rendah dan menengah.

 

 

Lebih istimewa, SJKC Min Sin yang menghantar dua pasukan bukan sahaja merangkul gelaran johan (pasukan perempuan) tetapi turut bergelar naib johan (pasukan lelaki) bagi kategori sama.

 

img 20250823 wa0065
PASUKAN BSMM SJKC Min Sin menunjukkan aksi cemerlang dan mengungguli kedudukan dua teratas bagi kategori sekolah rendah dalam pertandingan kawad kaki peringkat negeri.

 

Sementara itu, SJKC Chung Hwa 3 menduduki tempat ketiga, diikuti Sekolah Kebangsaan (SK) Bertam Perdana (keempat) dan SJKC Keow Kuang (kelima).

 

 

Bagi kategori sekolah menengah, naib johan dimenangi oleh Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bagan Jaya; manakala tempat ketiga menjadi milik SMK Taman Perwira; diikuti SMK Bukit Mertajam (keempat) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Syeikh Abdullah Fahim (kelima).

 

 

Dalam pada itu, SJKC Chung Hwa 3 dan SMJK Jit Sin menerima pengiktirafan Ketua Platun Terbaik masing-masing bagi kategori sekolah rendah dan menengah.

 

img 20250823 wa0046
SMJK Jit Sin muncul johan bagi kategori sekolah menengah.

 

Terdahulu, Pengerusi BSMM Negeri Pulau Pinang, Datuk Seri Lim Tiong Chin berkata, pertandingan kawad kaki merupakan salah satu aktiviti penting anjuran BSMM negeri.

 

 

“Pertandingan ini diadakan bagi memupuk disiplin dalam kalangan pelajar sekolah yang menyertai BSMM.

 

 

Disiplin adalah nilai yang amat penting dalam kehidupan dan ia sangat diperlukan oleh semua ahli BSMM, terutama ketika melaksanakan aktiviti teras seperti perkhidmatan ambulans, pengurusan bencana, pertolongan cemas dan khidmat masyarakat.

 

 

“Malah, melalui pertandingan kawad kaki ini juga, semangat berpasukan dapat diperkukuh di samping meningkatkan kemahiran dalam latihan kawad kaki,” ujarnya.

 

 

 

Beliau berkata demikian ketika hadir pada Majlis Penutupan Pertandingan Kawad Kaki BSMM Peringkat Negeri Pulau Pinang yang berlangsung di Pusat Kokurikulum Pulau Pinang, Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, dekat Lebuhraya Muhibbah di sini pada 23 Ogos 2025.

 

img 20250823 wa0054
PASUKAN BSMM lelaki dari SJKC Min Sin turut beraksi cemerlang dalam pertandingan tersebut.

 

Dalam ucapannya, beliau turut merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa penganjur serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan pertandingan tersebut.

 

 

“Saya berasa gembira apabila dimaklumkan bahawa tahun ini sebanyak sembilan sekolah menengah dan 11 sekolah rendah mengambil bahagian.

 

 

Tahniah saya ucapkan kepada pihak sekolah, guru serta pelajar yang telah menunjukkan inisiatif dan komitmen dalam membuat persediaan.

 

 

“(Dan) kepada pasukan yang menang, syabas atas pencapaian anda. Bagi yang belum berjaya, jangan berputus asa kerana saya yakin anda akan tampil lebih cemerlang pada masa akan datang,” katanya.

 

img 20250823 wa0063
PARA peserta merakamkan gambar kenang-kenangan usai majlis penutupan pertandingan berkaitan di sini.

 

Difahamkan, pertandingan ini terbuka kepada semua sekolah rendah dan menengah serta menjadi acara tahunan dalam meningkatkan interaksi sesama ahli BSMM di negeri ini.

 

 

Bagi kategori sekolah rendah, sekolah lain yang turut serta termasuk SK Minden Height, SJKC Mak Mandin, SK Seberang Jaya, SJKC Kay Sin, SK Permatang To’ Kandu, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Krian dan SJKC Beng Teik.

 

 

Manakala, bagi sekolah menengah pula, SMK St. Mark; SMJK Chung Ling Butterworth dan SMK Alma.

 

img 20250823 wa0056
SEMANGAT berpasukan dan disiplin yang tinggi membolehkan pasukan dari SJKC Min Sin muncul sebagai juara.
img 20250823 wa0053
ANTARA gelagat pasukan yang sempat dirakam lensa.
img 20250823 wa0060
AKSI bersemangat dari salah satu pasukan yang mengambil bahagian.
img 20250823 wa0051
WALAUPUN cuaca agak terik, semangat yang ditonjolkan oleh semua peserta amat dikagumi.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN