BAGAN DALAM – Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Permatang Tinggi dipilih sebagai Johan Pertandingan Seni Kolam SJKT dan membawa pulang hadiah berupa wang tunai sebanyak RM1,000 serta sijil penyertaan.
SJKT Mak Mandin pula dipilih sebagai naib johan dan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM700 dan sijil penyertaan; sementara SJKT Lalang Changkat yang memenangi tempat ketiga menerima hadiah wang tunai RM500 dan sijil penyertaan.


Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid berkata tujuan penganjuran program tersebut bukan hanya meraikan warisan budaya masyarakat India, malah menyuntik dimensi baharu dengan menekankan penggunaan bahan kitar semula dan bahan semula jadi.
“Pendekatan ini bertepatan dengan hasrat MBSP untuk melahirkan generasi mudayang celik alam sekitar, kreatif dan berinovasi dalam menjaga kelestarian bumi,” jelasnya semasa merasmikan program tersebut di Dewan Dato’ Haji Ahmad Badawi, Butterworth di sini pada 11 November 2025.
Di samping itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Penasihat Malaysian Nature Society, D. Kanda Kumar yang telah mengetuai pasukan penjurian pertandingan tersebut.
Pengarah Jabatan Perkhidmatan Perbandaran MBSP merangkap Penyelaras Program Pertandingan Seni Kolam SJKT, Ahmad Zabri Mohamed Sarajudin dan beberapa Ahli Majlis bagi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berkenaan seperti Cheen Goon Hooi, Zainuddin Mohamed, Muhamad Suziki Ahmad, dan Datuk Mohd Noor Ahmad turut sertai majlis perasmian dan penyampaian hadiah kepada para pemenang.

Daripada 18 SJKT yang telah menyertai pertandingan tersebut, SJKT Ladang Alma, SJKT Ladang Juru, SJKT Ladang Krian, SJKT Bukit Mertajam, SJKT Sungai Bakap, SJKT Ladang Byram dan SJKT Ladang Batu Kawan masing-masing memenangi hadiah sagu hati berupa wang tunai berjumlah RM200 serta sijil penyertaan.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD