BATU MAUNG – Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin menzahirkan pujian atas komitmen berterusan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Sungai Ara dalam pembangunan pendigitalan pada peringkat sekolah.
Menurut beliau, komitmen sekolah berkenaan juga adalah selaras dengan komitmen Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) sebagai ‘Peneraju Transformasi Pendidikan Digital’.
“Walaupun sekolah ini kecil, tetapi para guru dan murid-muridnya mempunyai wawasan yang besar.
“Saya sendiri banyak meluangkan masa di sekolah ini yang mana pada asalnya agak ketinggalan namun atas usaha semua, SJKT Sungai Ara pada hari ini menjadi antara sekolah terawal di Pulau Pinang yang mempunyai perpustakaan digitalnya sendiri,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika hadir merasmikan perpustakaan digital di sini baru-baru ini.
Jelas Tze Tzin lagi, bagi menyokong pembangunan dan aspirasi pendigitalan di sini, beliau sendiri telah menyumbang peruntukan sebanyak RM130,000.

“Peruntukan ini adalah bagi memperkukuh infrastruktur digital di sekolah ini, sejak tahun 2023 lagi yang mana ia merangkumi bekalan komputer, papan kenyataan dan pada 25 Julai lalu, empat unit ‘smart board’ disumbangkan kepada pihak sekolah,” katanya.
Dalam pada itu, Tze Tzin turut berkongsi mengenai sesi libat urus bersama-sama Kementerian Pendidikan di Parlimen yang mahu mengkaji falsafah pendidikan semasa agar selari dengan sektor pekerjaan terkini.
“Matlamatnya adalah persiapkan para pelajar untuk kerjaya masa depan yang belum wujud pada hari ini.
“Teknologi berubah dengan pantas dan pendidikan mesti bergerak seiring dengan perubahan itu.
“Kementerian (Pendidikan) perlu mengkaji sektor pekerjaan semasa yang masih relevan pada masa hadapan dan memastikan (proses) pembelajaran semasa selari dengan kepantasan teknologi hari ini agar anak-anak kita tidak ketinggalan seterusnya mampu mengisi bidang-bidang penting kelak,” jelasnya lagi.

Sementara itu, Guru Besar SJKT Sungai Ara, S. Pathmalosani ketika berucap pada majlis sama, merakamkan penghargaan kepada Tze Tzin yang telah banyak membantu dari segi memodenkan sekolah tersebut.
“Ini merupakan satu pelaburan besar untuk anak-anak kita, motto JPNPP menjadi realiti.
“Saya berharap sumbangan ini akan jadi pemangkin minat membaca dalam kalangan murid-murid serta akses tanpa had platform digital di sekolah.
“Ini adalah menifestasi transformasi bukan sahaja ruang membaca tetapi menghubungkan murid dengan teknologi tanpa sempadan.
“Seterusnya mampu meningkatkan prestasi sekolah ke tahap yang lebih tinggi dengan bantuan teknologi sedia ada,” katanya lagi.
Teks & Gambar: WATAWA NATAF ZULKIFLI