SJKT, Tadika dan Sekolah Punjabi terima peruntukan RM2.39 juta, peningkatan RM380,000 berbanding tahun sebelum

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang hari ini menyerahkan bantuan kewangan berjumlah RM2.39 juta kepada Sekolah-Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), Tadika, Tabung Khas Pendidikan Tamil serta Sekolah-Sekolah Punjabi di seluruh negeri.

Jumlah tersebut meningkat sebanyak RM380,000 pada tahun ini berbanding hanya RM2,010,000 pada tahun lepas.

Chow Kon Yeow menyerahkan cek sumbangan kepada salah sebuah sekolah yang layak.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, pemberian sumbangan tersebut adalah bertujuan menambaik kemudahan infrastruktur dan keperluan asas persekolahan demi keselesaan para pelajar selain mewujudkan suasana lebih kondusif.

“Sejajar dengan perubahan corak dan sistem pendidikan masa kini, sekolah Tamil juga tidak boleh ketinggalan dalam menghadapi cabaran abad ke-21.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri mula mengambil langkah-langkah ke arah meningkatkan kemudahan ICT (Informasi dan Teknologi Maklumat) termoden seperti komputer, projektor, vizualizer dan sebagainya yang diharap dapat menyumbang kepada modenisasi sistem pendidikan negara ini,” ujarnya pada program berkenaan di sini sebentar tadi.

Turut berucap, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy dan Pengerusi Jawatankuasa Khas Sekolah-Sekolah Tamil Pulau Pinang, Datuk Dr. K. Anbalangan.

Hadir sama, barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Kasthuriraani dan ramai lagi.

Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa peruntukan yang diagihkan adalah berlandaskan keperluan di setiap sekolah dan diharap ia mampu memberi manfaat untuk masa hadapan.

“Pelaburan untuk pendidikan adalah pelaburan untuk masa hadapan.

“Justeru, marilah kita sediakan masa depan yang baik untuk anak-anak dan sediakan anak-anak untuk masa depan yang baik,” serunya.

Difahamkan, peruntukan bagi sekolah Tamil dinaikkan daripada RM1.75 juta kepada RM2 juta (SJKT), daripada RM100,000 kepada RM150,000 (tadika), daripada RM100,000 kepada RM150,000 (Tabung Khas Sekolah Tamil) dan RM60,000 kepada RM90,000 (sekolah Punjabi).

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : LAW SUUN TING