SK St. Mark Butterworth johan pertandingan kumpul minyak masak terpakai Seberang Perai

dsc 3494

SEBERANG JAYA – Sekolah Kebangsaan (SK) St. Mark dinobatkan sebagai johan bagi Pertandingan Pengumpulan Minyak Masak Terpakai di Sekolah-sekolah Peringkat Seberang Perai.

SK St. Mark berjaya mengumpul seberat 353.95 kilogram (kg) minyak masak terpakai, sekali gus layak membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM500.

Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yok Eng pula meraih tempat kedua dan membawa pulang hadiah wang tunai RM350, manakala tempat ketiga milik SK Sungai Bakau (RM250).

Majlis penyampaian hadiah kepada semua pemenang disempurnakan oleh Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid dalam majlis yang diadakan di Menara Bandaraya MBSP dekat sini pada 10 Disember 2025.

dsc 3478dsc 3467dsc 3462

Semasa berucap, Baderul Amin menyifatkan program yang dianjurkan dengan kerjasama syarikat Arus Oil itu sangat penting dalam memperkukuh pendidikan lestari pada peringkat akar umbi.

Menurutnya, program tersebut bukan sahaja mendidik pelajar tentang konsep kitar semula, bahkan turut memberi pendedahan mengenai pengurusan sisa berjadual seperti minyak masak terpakai.

“Minyak masak terpakai jika tidak diuruskan dengan betul boleh mencemarkan sumber air, merosakkan pembentungan dan menjejaskan ekosistem setempat.

“Justeru, pendekatan ini bukan sekadar aktiviti kutipan tetapi satu proses pembelajaran holistik yang menanam nilai tanggungjawab, integriti serta rasa cinta kepada alam sekitar,” katanya.

Mengulas lanjut, Baderul Amin berkata, pertandingan tersebut yang diadakan mulai 1 Mei sehingga 31 Oktober 2025 telah menerima penyertaan sebanyak 20 buah sekolah rendah dan menengah di Seberang Perai.

“Penyertaan pertandingan ini adalah secara percuma, dengan tong minyak pula disumbangkan oleh pihak Arus Oil serta proses penilaian pula adalah berdasarkan berat minyak terpakai yang berjaya dikumpul.

“Lebih membanggakan, minyak masak terpakai yang dikumpulkan dijual semula kepada Arus Oil dan hasil jualan pula diserahkan sepenuhnya kepada pihak sekolah.

“Ini menunjukkan bahawa program ini turut memberi manfaat ekonomi dan boleh dijadikan sebagai aktiviti kelestarian yang mampan pada masa hadapan,” ujarnya.

Dalam majlis berasingan selepas itu, Baderul Amin turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang bagi Pertandingan Pengumpulan Barang Elektrik dan Elektronik Terpakai Isi Rumah Seberang Perai 2024/2025.

dsc 3591dsc 3596

Pertandingan itu telah menyaksikan Pusat Kitar Semula Gereja St. Anne dinobatkan sebagai johan dan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM1,000.

Naib johan pula menjadi milik Pusat Pendidikan Alam Sekitar Tzu Chi Tambun Indah (RM900), manakala tempat ketiga dimenangi oleh Pusat Kitar Semula Butterworth Buddist Association (RM800).

Pertandingan tersebut yang berlangsung dari 1 Januari 2024 sehingga 30 Jun 2025 dibuka kepadd semua pusat kitar semula di Seberang Perai.

Baderul Amin berkata, sehingga kini program tersebut berjaya mengumpulkan sejumlah 15.24 tan sisa elektrik dan elektronik, sekali gus membuktikan perubahan sikap serta kesedaran masyarakat semakin meningkat.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MBSP