Skim Penyahgaraman Bekalan Air Pulau Pinang jika SPRWTS tangguh – Exco

GEORGE TOWN – Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari memaklumkan bahawa Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) telah mencadangkan Skim Penyahgaraman Bekalan Air Pulau Pinang (PDWSS) sebagai alternatif untuk mendapatkan sumber air mentah.

Walau bagaimanapun, skim tersebut adalah bergantung kepada projek Skim Penyaluran Air Mentah Sungai Perak (SPRWTS) menjelang tahun 2025.

“Projek SPRWTS ini telah dikenal pasti sejak tahun 2011 lagi namun ia tertangguh kerana negeri Perak ingin menjual ‘air terawat’ manakala negeri Pulau Pinang ingin membeli ‘air mentah’.

“Status terkini bagi pelaksanaan skim ini ialah Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) telah melantik pihak konsultan untuk membuat kajian tentang opsyen-opsyen yang bersesuaian bagi pelaksanaan projek ini dan kajian tersebut dijangka siap pada bulan November 2021.

“Projek ini (PDWSS) dicadang untuk dimulakan sekiranya projek SPRWTS masih tertangguh menjelang tahun 2025,” ujarnya pada sesi penggulungan pada Mesyuarat Pertama Penggal Keeampat Dewan Undangan Negeri Yang Ke-14 Negeri Pulau Pinang hari ini.

Kenyataan tersebut sekali gus menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Dua, Dato’ Muhamad Yusoff Mohd. Noor yang bertanyakan mengenai tindakan alternatif Kerajaan Negeri bagi mendapatkan sumber air mentah dengan tidak bergantung kepada negeri Perak dan Kedah.

Sebagai rekod, kos penyahgaraman air laut adalah lebih tinggi daripada merawat air mentah dari Sungai Perak.

Dalam pada itu, menyentuh perkara serupa, Zairil yang juga ADUN Tanjong Bunga berkata, Kerajaan Negeri telah mencadangkan kepada pihak Kerajaan Persekutuan agar satu pihak berkuasa bebas ditubuhkan untuk memelihara dan mengurus sumber air dari Ulu Muda, Kedah.

“Ulu Muda Basin Authority atau UMBA dicadangkan sebagai langkah diplomasi bagi memastikan sumber air tidak tercemar dan tidak terjejas melalui Rancangan Lembangan Ulu Muda yang akan memberi kepentingan kepada 4.2 juta rakyat di negeri Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.

“Ulu Muda mesti dikendalikan secara lestari sebagai kawasan tadahan air utama di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dan menghentikan sepenuhnya serta melarang semua aktiviti pembalakan, perlombongan dan lain-lain yang mencemarkan sumber air di Ulu Muda,” jelasnya.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD