Skim Pinjaman Harapan diharap jadi pemangkin usahawan majukan diri, perkasakan perniagaan – KM

Admin

BUKIT JAMBUL – Pinjaman Projek Titian Saksama Rakyat (PTSR) hari ini dijenamakan semula sebagai Skim Pinjaman Harapan (SPH) Negeri Pulau Pinang.

Majlis pelancarannya disempurnakan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow sebentar tadi di salah sebuah hotel dekat sini.

Kon Yeow dalam ucapannya berkata, SPH yang dahulunya dikenali sebagai PTSR adalah skim pinjaman mikro kredit jangka pendek dengan matlamat untuk membantu mewujudkan satu sistem penyaluran modal yang mudah serta tidak membebankan penjaja dan peniaga kecil di Pulau Pinang.

Katanya, skim (pinjaman) tersebut disalurkan tanpa sebarang cagaran, penjamin dan caj perkhidmatan untuk tahun pertama dengan jumlah pinjaman hingga maksimum RM25,000 dan tempoh bayaran balik di antara satu hingga tiga tahun.

“SPH telah banyak membantu usahawan Pulau Pinang mengembangkan modal perniagaan masing-masing sekaligus menjadi mercu aras Pulau Pinang sebagai sebuah negeri berkebajikan dan keusahawanan.

“Sejak ditubuhkan pada tahun 2009, Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) telah memperuntukkan kira-kira RM11 juta membabitkan 3,060 peminjam bagi semua daerah di Pulau Pinang sehingga kini.

“Pelbagai insentif dan faedah telah disediakan, diharap ianya menjadi pemangkin kepada golongan usahawan untuk terus berusaha memajukan diri serta memperkasakan bidang perniagaan masing-masing,” ujarnya sambil memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri begitu komited dalam memberikan perkhidmatan dan kemudahan terbaik kepada golongan berkenaan.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman, Dato’ Abdul Halim Hussain (Exco Perdagangan Antarabangsa & Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan), Teh Lai Heng (Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri, ADUN Komtar) dan Jeffrey Chew (Timbalan Pengurus Besar II PDC).

Serentak itu, majlis turut diselitkan dengan pengisian program pemantapan usahawan.

Seramai 26 usahawan dari pelbagai daerah menerima cek pinjaman masing-masing dengan jumlah pinjaman keseluruhan sebanyak RM232,000.

Mengulas lanjut, Kon Yeow turut memaklumkan peratusan bayaran balik yang diterima sehingga kini adalah 86 peratus, dan PDC selaku agensi pelaksanaan program akan terus melakukan pemantauan.

“PDC akan bertindak sebagai fasilitator untuk memberikan kesedaran dan kepentingan bayaran balik selain menyediakan usahawan-usahawan ini dengan kursus, latihan serta program yang diperlukan,” ujarnya yang merupakan ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

Sejajar dengan penjenamaan semula itu, Abdul Halim memberitahu bahawa Kerajaan Negeri akan melihat kepada keberhasilan dan kejayaan peminjam-peminjam tersebut menjalankan perniagaan masing-masing.

“Ini gunanya PDC sebagai fasilitator, yang mana mereka akan sentiasa memantau dan melihat perkembangan usahawan-usahawan ini sama ada terdapat peningkatan jualan atau sebaliknya.

“Untuk itu juga, kita galakkan mereka untuk menceburkan diri dan perniagaan dengan bidang digital yang sekaligus akan membantu melonjakkan produk serta pemasaran mereka,” jelasnya.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : DARWINA MOHD. DAUD