SKIMAS tingkat motivasi atlet negeri

Admin

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

GEORGE TOWN – Buat julung kalinya, Kerajaan Negeri melalui Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) baru-baru ini memperkenalkan insentif baru sebagai penghargaan kepada barisan atlet negeri iaitu Skim Kemenangan Sukan Kerajaan Negeri Pulau Pinang (SKIMAS).

Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita Keluarga dan Komuniti, Chong Eng berkata, SKIMAS diperkenalkan bagi meningkat, menggalak serta memberi motivasi kepada para penggiat sukan negeri termasuk barisan atlet yang berentap dalam kejohanan-kejohanan peringkat kebangsaan serta antarabangsa yang diiktiraf badan induk sukan Malaysia.

“SKIMAS bertindak sebagai garis panduan Kerajaan Negeri untuk menetapkan kadar insentif kewangan yang bakal disumbangkan kepada atlet yang berjaya memenangi pingat di persada sukan tanah air dan antarabangsa seperti Olimpik, Sukan Komanwel, Sukan Asia, Sukan SEA, Sukan Paralimpik dan Sukan Orang Pekak.

“Malah, dalam mendokong taraf kesaksamaan, para atlet orang kurang upaya (OKU) yang telah memenangi pingat dalam Sukan Asia Para Games, Incheon, Korea 2014, Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) Ke-18, Melaka dan Paralimpiad 2014, Perlis juga diberi pengiktirafan serta insentif kewangan oleh Kerajaan Negeri,” katanya pada sidang akhbar Majlis Penyampaian SKIMAS Kepada Barisan Atlet dan Wakil-wakil Berkelayakan di sini baru-baru ini.

Hadir menyempurnakan majlis, Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng.

Menurut Guan Eng, secara keseluruhan, Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan  SKIMAS berjumlah RM170,800 pada majlis penyampaian berkaitan.

“Walaupun insentif berbentuk kewangan merupakan sebahagian pendorong kepada para atlet untuk mengekal dan meningkatkan prestasi masing-masing, saya pasti, kepuasan yang dirasai ketika bergelar juara adalah lebih bermakna.

“Harap SKIMAS ini dapat menjadi dorongan kepada anda (penerima) untuk terus berjuang, kerana kita (Kerajaan Negeri) tidak mahu anda semua (para penerima) menjadi jaguh kampung, sebaliknya, mampu menjadi jaguh negara dan dunia,” seru beliau.

Bagi pemain Sepak Takraw kebangsaan, Mohamad Syahir Mohd. Rosdi, 19, yang memperoleh insentif bernilai RM2,400 hasil kemenangan pingat Gangsa pada kejohanan Sukan Asia Incheon, beliau memuji SKIMAS yang diperkenalkan Kerajaan Negeri.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana secara tidak langsung mengiktiraf perjuangan atlet seperti kami dalam memartabatkan sukan di peringkat tertinggi.

“Selepas menerima insentif ini, ianya akan menguatkan lagi semangat atlet untuk mencapai kejayaan di samping mengharumkan nama negara dan negeri,” ujarnya yang berasal dari Air Itam di sini.

Pada penghujung tahun lalu, Mohamad Syahir turut mengharumkan nama negara apabila berjaya menyumbang tenaga dengan menewaskan regu seteru utama sepak takraw iaitu Thailand dalam Kejohanan Sepak Takraw Dunia anjuran Pertubuhan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) di Melaka.

Seorang atlet OKU bagi acara badminton, Aris Moosa, 41, turut melahirkan raasa syukur apabila julung kali diiktiraf.

SKIMAS melayakkan Arif menerima insentif berjumlah RM500 apabila memperoleh pingat Perak dalam acara regu badminton pada SOPMA di Melaka tahun lalu.

document.currentScript.parentNode.insertBefore(s, document.currentScript);