Skop CMI lebih luas selain memaksimum nilai aset strategik kerajaan, respons Ketua Menteri

Admin
02a58976 892f 426e a09c fcdb6ceeaa93

GEORGE TOWN – Sebagai agensi negeri, Perbadanan Ketua Menteri (CMI) akan terus mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan pendekatan strategik memaksimum nilai aset strategik Kerajaan Negeri seperti tanah dan bangunan melalui konsep perkongsian awam, swasta serta profesional (4P).

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pendapatan CMI dijana melalui hasil penyewaan daripada pajakan dan pelaksanaan projek kerjasama sektor swasta.

“Kini, skop tugas CMI telah diperluas dengan memantau peruntukan kewangan 17 Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri (GLC),” jelasnya dalam Sesi Ucapan Penggulungan Exco sempena Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini pada 22 Mei 2025.

Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi memberitahu bahawa sasaran utama CMI ketika ini adalah untuk melaksanakan projek melalui kerjasama sektor swasta bagi mengurangkan beban kewangan Kerajaan Negeri.

Di samping itu, beliau memberitahu bahawa pelaksanaan projek secara 4P juga membolehkan CMI menjana pendapatan melalui sewaan dan pajakan tanah berdasarkan siapnya projek.

“Sejak tahun 2013 sehingga kini, CMI telah berjaya membawa pelaburan berjumlah RM3.2 bilion kepada Kerajaan Negeri melalui projek seperti projek perumahan Sandiland Foreshore, projek perumahan Kampung Pisang Awak, pembangunan semula Hotel Crag, pembangunan Akademi Badminton, pembangunan Feringghi Bay, pembangunan semula Kompleks Bayu Senja, Projek Titian Silara Habitat, projek pembangunan Sekolah Antarabangsa Stonyhurst dan pembangunan bercampur Lot 642 Bandar Gelugor,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Terdahulu, ADUN Berapit, Heng Lee Lee semasa membahaskan Usul Terima Kasih Tuan Yang di-Petua (TYT) antara lain meminta penjelasan mengenai fungsi serta peranan hakiki CMI dalam merangsang pertumbuhan ekonomi Pulau Pinang.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS