Skuad Memanah Bawah 21 Tahun Negeri bolot 12 pingat emas di Jakarta

Admin

BAYAN LEPAS – Seramai 10 atlet skuad memanah bawah 21 tahun yang menyertai Kejohanan Memanah Terbuka Jakarta 2019 pada 25 hingga 30 Jun lalu berjaya membawa pulang 12 pingat emas, perak (2) dan gangsa (4).

Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee berharap pencapaian pasukan tersebut memberi inspirasi kepada persatuan-persatuan sukan lain di negeri ini untuk menyertai kejohanan di peringkat kebangsaan hatta nasional, kelak.

“Semangat (bekas pemain nombor satu dunia) Datuk Lee Chong Wei mesti terus dibawa oleh semua atlet negeri ini, bukan sahaja dalam arena sukan badminton.

“Saya amat berharap agar kejayaan mereka dapat menjadi inspirasi dan teladan baik bagi atlet pelapis serta mereka yang baru serta ingin berjinak-jinak dalam sukan memanah,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal ketika menyambut kepulangan pasukan memanah negeri di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) di sini pada 1 Julai 2019.

Pengerusi Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), Frederick Tan Teck An dan dua jurureka Pasukan Memanah Negeri Pulau Pinang, G. Shamani dan P. Salina turut sertai sidang media itu.

Menurut Salina, skuad memanah bawah 21 tahun kini memberi tumpuan untuk memburu emas dalam Kejohanan Memanah Terbuka Sarawak pada Ogos ini dan Kejohanan Memanah Terbuka UNISZA (September 2019).

Syed Imran Syed Ibrahim, 20, berjaya merangkul tiga pingat emas dalam acara 50 meter (m) Compound Lelaki, Compound Lelaki Berkumpulan dan Compound Regu Bercampur.

Bercakap kepada pemberita, Syed Imran mengaku bahawa beliau hanya sasar membawa pulang satu pingat emas sahaja dalam Kejohanan Memanah Terbuka Jakarta baru-baru ini.

“Saya dah habis sekolah, kini atlet memanah sepenuh masa.

“Dalam kejohanan di Jakarta, yang kali pertama saya sertai kejohanan peringkat antarabangsa, memang saya sasar satu emas sahaja,” jelasnya sambil merakamkan penghargaan kepada kedua-dua jurulatih serta MSNPP yang banyak menyokong skuad memanah bawah 21 tahun negeri.

 

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar: CHAN KOK KUAN