Skuad Pemantau Pengguna akan diaktifkan semula, pastikan tiada manipulasi harga – Exco

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang berhasrat mengaktifkan semula Skuad Pemantau Pengguna yang pernah ditubuhkan di setiap Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) di negeri ini sebelum ini.

Menurut Exco Perdagangan Antarabangsa & Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan, Dato’ Abdul Halim Hussain, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di 40 KADUN boleh memanfaatkan skuad tersebut bagi membantu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Kerajaan Negeri untuk memantau harga barang dan menegakkan hak-hak pengguna.

Beliau menyatakan perkara itu ketika sesi penggulungan dalam Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Yang Ke-14 di sini pada 9 Ogos 2018, sebagai menjawab soalan yang dikemukakan oleh ADUN Bertam, Khaliq Mehtab Mohd. Ishaq.

“Walau bagaimanapun, tugas Pemantau Pengguna bukan sahaja setakat memantau harga barangan tetapi juga termasuk alam sekitar, kebersihan dan kesihatan di peringkat komuniti,” katanya.

Tambah Abdul Halim yang juga ADUN Batu Maung, semua pihak yang prihatin boleh menyalurkan maklumat kepenggunaan termasuk isu harga barangan kepada Pejabat KPDNHEP Negeri Pulau Pinang di Bangunan Syed Putra, di sini.

“Di samping itu, program pendidikan hak-hak pengguna melalui sekolah juga boleh dilaksanakan supaya hak-hak pengguna ini diperkenalkan kepada masyarakat sejak di bangku sekolah lagi,” ujarnya lagi.

Sebagai rekod, terdapat seramai 135 orang Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Pulau Pinang turun padang bagi menjalankan pemantauan dan pemeriksaan secara berterusan terhadap semua jenis barangan dan perkhidmatan di premis perniagaan yang melibatkan premis pasar basah, kedai runcit, pasar raya dan pasar raya besar.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS