PANTAI JEREJAK – Exco Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi, Fahmi Zainol berharap sumbangan enam unit televisyen pintar (smart tv) akan mampu membantu proses pembelajaran di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Nibong dengan lebih berkesan.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan Smart TV Kepada SK Sungai Nibong di sini pagi tadi.
Menurutnya, smart tv menjadi bahan membantu pengajaran dan pembelajaran penting dalam era digital sejajar dengan pemesatan teknologi semasa.
“Saya berazam mahu memastikan bahawa sekolah di kawasan saya terima pendidikan, terima kemudahan yang baik khususnya ke arah digitalisasi abad ke-21 ini.
“Guru-guru juga diharap dapat mendidik dengan lebih kreatif menggunakan platform dan medium dalam talian sebaik mungkin seterusnya mendapat keputusan yang cemerlang,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak.

Hadir sama, Guru Besar SK Sungai Nibong, Syed Amir Syed Hafizan; Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Tengku Hazman Tengku Hassan dan barisan penaja.
Fahmi dalam pada itu menyeru syarikat-syarikat korporat lain juga turut dapat melihat dan membantu keperluan-keperluan sekolah sebagai pelaburan masa depan melalui pembelajaran.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Persatuan Usahawan Cina Pulau Pinang, LFX Solution Sdn. Bhd. dan Syarikat Pemborong Ayam AK Sdn. Bhd. kerana menaja smart tv tersebut.
Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : MUHAMMAD IQBAL HAMDAN