SMK Padang Polo pertahan kejuaraan Pertandingan Kitar Semula Kategori SM

Oleh: SYARAFANA ALI

Gambar : LAW SUUN TING

GEORGE TOWN – Sebanyak 90 sekolah rendah, menengah dan pra-sekolah mengambil bahagian dalam penganjuran pertandingan kitar semula dan bersaing merebut hadiah berjumlah RM27,951.80.

Pertandingan yang diadakan selama empat bulan mulai 11 April hingga 12 Ogos lalu bertujuan memupuk kesedaran umum terutama mereka yang masih di bangku sekolah.

Setiausaha Bandaraya Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. Ang Aing Thye berkata, kempen anjuran bersama syarikat Fraser & Neave (M) Sdn. Bhd. (F&N) berkaitan dapat membuka ruang kepada pihak sekolah untuk memperhebatkan usaha ke arah memastikan inisiatif Kerajaan Negeri sebagai sebuah negeri yang bersih dan hijau tercapai.

“Sekolah merupakan entiti yang amat penting bagi membudayakan amalan kitar semula dan menjadi agen pelaksana pengurusan sisa kitar semula.

“Umum mengetahui, sejak 1 Jun lalu, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan pelaksanaan Dasar Pengasingan Sisa Di Punca yang bukan sahaja menjadi tanggungjawab MBPP, malah semua pihak dalam menjayakannya, termasuklah pihak sekolah,” ucapnya ketika merasmikan Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Kitar Semula Peringkat Sekolah 2016 di Komtar 7 September lalu.

Hadir sama, Pengurus Hal Ehwal Korporat Syarikat F&N, Careissa Goh, barisan Ahli Majlis MBPP serta wakil-wakil penganjur.

Bagi tahun ini, semua sekolah yang menyertai pertandingan tersebut berjaya menghasilkan 127.194 tan sisa iaitu peningkatan sebanyak 31.70 peratus berbanding tahun lalu, hanya 96.576 tan sisa.

Begitu juga penyertaan sekolah di bahagian pulau meningkat kepada 90 sekolah daripada 209 sekolah keseluruhannya.

Penganjuran pertandingan kitar semula berkenaan turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang dan Tetra Pak (M) Sdn. Bhd..

“Pertandingan kitar semula menyatukan bukan sahaja guru dan pelajar di sekolah, malah juga ibu bapa yang turut terlibat dalam menjayakan inisiatif ini.

“Tanpa sokongan semua pihak, tidak mungkin kami boleh fokus dan menang untuk tahun kedua berturutturut bagi Anugerah Utama Kategori Sekolah Menengah,’’ kata Penolong Kanan Ko-Kurikulum Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Polo, Mahani Mohd.

Apa kata pemenang: “Pihak sekolah telah melaksanakan kempen kitar semula sejak lima tahun lalu dan kami komited untuk melaksanakannya demi kelestarian alam sekitar.

“Pastinya kami gembira apabila dinobatkan sebagai juara bagi Anugerah Utama Kategori Sekolah Rendah, wang hadiah ini akan disalurkan ke tabung Kelab Kitar Semula untuk pelaksanaan program pada masa hadapan,’’ ujar Guru Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Eng Chuan, Loo Bee Leng.

document.currentScript.parentNode.insertBefore(s, document.currentScript);