BATU UBAN – Sejak menerima mandat sebagai Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin sudah memperuntukkan RM2 juga di bawah Peruntukkan Projek Mesra Rakyat untuk membantu keperluan sekolah-sekolah.

Menurutnya, sebahagian daripada itu, RM400,000 telah diperuntukkan kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Nibong bagi membina Dewan Nibong Perdana di sekolah tersebut.
“Beberapa tahun lalu saya datang ke sekolah ini dan melihat murid-murid terpaksa berhimpun di tengah panas, kadang-kadang hujan.
“Dari situ tercetus idea untuk meluluskan RM400,000 bagi membina sebuah dewan terbuka demi keselesaan murid SMK Sungai Nibong,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Perasmian Dewan Nibong Perdana SMK Sungai Nibong di sini pagi tadi.
Hadir sama, Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Chan Soon Aun; barisan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan guru-guru sekolah.
Serentak dengan itu, Tze Tzin turut bersetuju untuk memasang dua kipas gergasi bernilai RM40,000 di dewan baharu tersebut.
“Selepas berbincang dengan cikgu, selain daripada kipas gergasi, kita juga akan pasang pendingin udara untuk kelas pendidikan khas.
“(Dan) kos ini adalah RM30,000 (enam unit), sebab kita sayangkan anak-anak istimewa kita, jadi kos keseluruhannya RM70,000.
“Apa yang lebih penting saya cuma mahu anda semua belajar bersungguh-sungguh, kerana dengan pelajaran sahaja akan mengubah hidup seterusnya menyumbang kepada masyarakat,” katanya lagi.
Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : MUHAMMAD IQBAL HAMDAN