SMKA Syeikh Abdullah Fahim juara pertandingan video Tik Tok Pengurusan Sisa Organik anjuran MBSP

SEBERANG JAYA – Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Syeikh Abdullah Fahim diumumkan sebagai johan bagi pertandingan video Tik Tok ‘Pengurusan Sisa Organik’ anjuran Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

Kemenangan tersebut telah melayakkan para peserta terdiri daripada Sheikh Ahmad Amsyar Sheikh Roshahidi, Ahmad Naufal Nor Zamri, Muhammad Faliq Danish Suffian dan Muhammad Imran Hasany berjaya membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM600.

Naib johan pula menjadi milik Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent Butterworth yang membawa pulang RM500 manakala tempat ketiga dimenangi SMK Guar Perahu (RM400).

Sementara itu, SMK Bakti diumumkan sebagai pemenang bagi tempat keempat dan kelima ke sekali gus membawa pulang RM300 dan RM200.

Lima pemenang hadiah saguhati turut diumumkan yang berjaya membawa pulang RM100 iaitu SMK Valdor, SMK Teluk Air Tawar, SMK Jit Sin, SMK Sri Nibong dan SMKA Syeikh Abdullah Fahim (Anugerah Populariti).

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Azhar Arshad berkata, pertandingan tersebut merupakan salah satu inisatif hijau yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa tempatan itu bersama-sama agensi negeri dalam usaha menggalakkan para pelajar sekolah untuk menghayati dan mencintai alam sekitar melalui pengurusan sisa organik.

“Aplikasi Tik Tok banyak digunakan oleh golongan muda, jadi MBSP bersama-sama Penang Green Council (PGC) dan Flex Penang menganjurkan pertandingan ini sebagai usaha mendidik pelajar menggunakan media sosial ke arah kebaikan.

“Justeru, saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada para pemenang dan mereka yang mengambil bahagian kerana telah menunjukkan komitmen yang tinggi dan mendalami ciri-ciri amalan hijau dengan cemerlang ke arah perubahan alam sekitar yang positif.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Flex Penang kerana sudi penaja hadiah bagi pertandingan ini.

“Saya berharap agar ia dapat menjadi inspirasi kepada semua untuk menjadikan Seberang Perai sebagai sebuah Bandaraya Hijau,” katanya semasa berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Video Tik Tok ‘Pengurusan Sisa Organik’ dekat Menara Bandaraya di sini sebentar tadi.

Hadir sama pada program tersebut ialah Ketua Whip Parti, P. David Marshel; Ahli-Ahli Majlis bagi MBSP; Penolong Pengurus PGC, Hoo Hui Ching dan Pengarah Bahagian Sumber Manusia Flex Penang, Ahmad Shahabudin Idris.

Difahamkan, sebanyak 17 buah sekolah di seluruh Seberang Perai menyertai pertandingan yang julung kalinya diadakan itu.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD