GEORGE TOWN – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mula menguatkuasakan Perintah Khidmat Masyarakat bagi pesalah yang membuang sampah kecil di tempat awam, mulai 1 Januari 2026.
Langkah tersebut dilaksanakan mengikut Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672), selepas pindaan diluluskan Dewan Rakyat pada Ogos 2025.
Melalui pindaan tersebut, pesalah yang disabitkan dengan hukuman itu perlu menjalani Perintah Khidmat Masyarakat hingga 12 jam dalam tempoh enam bulan dari tarikh sabitan merangkumi aktiviti berkaitan kebersihan seperti mengutip sisa pepejal, mencuci, memotong rumput dan membersihkan sarang labah-labah.
Susulan itu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang turut bersetuju menguatkuasakan perintah berkaitan bermula 1 Julai 2026, apabila Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) negeri pada 17 Disember 2025 telah meluluskan cadangan KPKT mengikut Akta Jalan, Parit dan Bangunan (pindaan) 2025 (Akta A1773).
Exco Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye memaklumkan bahawa mesyuarat juga bersetuju memberikan tempoh enam bulan kepada Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bagi membuat persiapan sebelum pelaksanaan penuh bermula 1 Julai ini.

Justeru, Buletin Mutiara berkesempatan mendapatkan reaksi orang awam mengenai perkara itu yang mana rata-rata daripada mereka menyatakan sokongan penuh terhadap pelaksanaan perintah tersebut.
Pengusaha spa kecantikan, NUR SHEEMA ZAINOL, 49 tahun berkata penguatkuasaan Perintah Khidmat Masyarakat bagi pesalah yang membuang sampah kecil di tempat awam amat tepat dalam usaha menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri yang lebih bersih dan hijau.
Menurutnya, perbuatan membuang sampah di merata-rata tempat masih lagi kerap berlaku dalam kalangan masyarakat yang berpunca daripada kurangnya kesedaran terhadap kepentingan menjaga kebersihan alam sekitar.
“Saya perhatikan bahawa masih ramai dalam kalangan masyarakat kita bersikap ambil mudah dalam aspek pembuangan sampah, mungkin kerana kurangnya kesedaran terhadap penjagaan alam sekitar.
“Contoh mudah yang biasa kita lihat adalah pembuangan sampah kecil seperti tisu yang mungkin dilihat remeh tetapi sebenarnya memberikan kesan besar terhadap alam sekitar sekiranya tidak ditangani secara berkesan.
“Perbuatan inilah yang menjadi punca kepada kejadian longkang tersumbat, sekali gus menyebabkan berlakunya banjir kilat apabila hujan lebat,” katanya yang berasal dari Seberang Jaya.
Berkecimpung dalam perniagaan spa dan kecantikan yang begitu menitikberatkan kebersihan, Nur Sheema berkata pelaksanaan Perintah Khidmat Masyarakat secara tidak langsung dapat melatih masyarakat untuk lebih berdisiplin dalam aspek pengurusan sampah.
“Saya berpendapat bahawa hukuman menjalankan khidmat masyarakat ini dapat membantu membentuk disiplin dalam kalangan masyarakat dan meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya menjaga kebersihan alam sekitar,” ujarnya.

KAMARUL MOHD. KASSIM, 49, juga antara yang bersetuju dengan pelaksanaan Perintah Khidmat Masyarakat oleh KPKT.
Katanya, langkah tersebut dilihat mampu mengurangkan perbuatan membuang sampah kecil di tempat awam.
“Hukuman khidmat masyarakat pada saya sudah memadai untuk memberikan pengajaran kepada mereka yang mempunyai sikap suka membuang sampah di merata-rata tempat sehingga menyebabkan berlakunya pencemaran.
“Paling ketara adalah di kawasan perumahan flat yang mana sikap suka membuang sampah di tempat tidak sepatutnya masih lagi kerap berlaku.
“Jadi pada saya pelaksanaan akta ini memang bertepatan untuk mengurangkan pembuangan sampah di tempah awam yang boleh menimbulkan pelbagai masalah berkaitan alam sekitar,” katanya sambil berharap agar pelaksanaan perintah tersebut dapat meningkatkan disiplin diri dalam kalangan masyarakat.

Nada sama turut disuarakan oleh ABDUL RAHIM ABDUL KARIM, 62, yang turut bersetuju dengan pelaksanaan perintah tersebut sebagai inisiatif untuk meningkatkan disiplin diri dalam kalangan masyarakat.
“Saya menyambut baik langkah KPKT untuk meningkatkan kesedaran masyarakat yang dilihat masih lagi rendah terhadap penjagaan kebersihan alam sekitar.
“Apabila dikenakan hukuman khidmat masyarakat, secara tidak langsung mereka akan belajar makna disiplin dan meningkatkan rasa cinta terhadap alam sekitar,” katanya.

Bagi peniaga, MAIMUNAH HUSIN, 50, pelaksanaan perintah berkaitan dapat memberi peringatan kepada mereka yang gemar membuang sampah di tempat tidak sepatutnya sehingga menjejaskan kesihatan manusia dan alam sekitar.
“Kesan perbuatan membuang sampah merata-rata bukan sahaja mencacatkan pemandangan, malah akan menyebabkan berlakunya banjir apabila sistem saliran tersumbat akibat sampah-sarap yang di buang di luar tong sampah.
“Apabila berlaku banjir, kita mula hendak salahkan pihak lain termasuk Kerajaan Negeri dan Majlis, sedangkan bencana ini juga berpunca daripada sikap masyarakat kita sendiri.
“Di pasar ini misalnya, walaupun tong sampah telah disediakan secukupnya oleh pihak Majlis, tetapi masih ada yang bersikap sambil lewa dengan membuang sampah di merata-rata tempat.
“Oleh itu, saya sangat bersetuju dengan pelaksanaan perintah ini untuk memberikan kesedarakan kepada orang ramai,” katanya sambil berharap agar pelaksanaan perintah tersebut mampu meningkatkan kebersihan di negeri ini demi kebaikan bersama.

Seorang lagi peniaga, MUHAMMAD AMRAN NA’EME, 33, turut bersetuju dengan pelaksanaan perintah tersebut memandangkan isu pembuangan sampah di tempat awam masih menjadi masalah yang tidak berkesudahan.
“Saya memang berasa marah apabila melihat kurangnya kesedaran sivik dengan membuang sampah sesuka hati.
“Masyarakat sepatutnya ada kesedaran tentang kesan tabiat tidak baik ini, jadi saya memang mengalu-alukan langkah KPKT dalam usaha mereka untuk menangani isu pembuangan sampah di tempat awam di negara kita,” katanya.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS