Sokongan dua ADUN PPBM dihargai, respons Kon Yeow

Admin

GEORGE TOWN – Sokongan berterusan yang dizahirkan oleh dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) iaitu Zolkifly Md. Lazim (Teluk Bahang) dan Khaliq Mehtab Mohd. Khaliq (Bertam) dihargai oleh Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang, sungguhpun baru-baru ini telah berlaku peralihan kuasa dalam Kerajaan Persekutuan.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, penghargaan tersebut adalah mengambil kira situasi perkembangan politik semasa yang menyaksikan PPBM sendiri masih belum memuktamadkan pendirian terhadap wakil-wakil rakyatnya di semua negeri termasuk Pulau Pinang.

“Kita alu-alukan sokongan dua ADUN daripada ‘parti Bersatu’ (PPBM, iaitu) keyakinan mereka terhadap Kerajaan Negeri Pakatan Harapan.

“Namun, ini adalah tempoh peralihan, sebab saya percaya ‘parti Bersatu’ akan perlu buat keputusan terhadap ahli-ahli (wakil rakyat) mereka yang tidak selari dengan pimpinan parti (PPBM).

“Jadi, kita (Pakatan Harapan Pulau Pinang) menunggu sahaja (pendirian PPBM terhadap wakil rakyatnya),” jelasnya yang juga Pengerusi Pakatan Harapan Pulau Pinang dalam sidang media di sini pada 7 Mac 2020.

Sebelum itu, Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Pusat Transit Gelandangan bernilai kira-kira RM4.4 juta di Jalan C. Y. Choy, Komtar dekat sini.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo; Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh; ADUN Komtar merangkap Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Teh Lai Heng; ADUN Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen; ADUN Batu Lancang, Ong Ah Teong; ADUN Air Itam, Joseph Ng Soon Siang dan Senator Lim Hui Ying turut sertai majlis tersebut.

Turut serta, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang dan Setiausaha Bandaraya, Dato’ Ir. Addnan Mohd. Razali.

Dalam perkembangan sama, Kon Yeow yang juga Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Pulau Pinang turut memberi maklum balas berhubung proses peralihan kuasa di peringkat Kerajaan Persekutuan yang melibatkan gabungan beberapa bekas pemimpin Pakatan Harapan bersama-sama gabungan pemimpin parti daripada blok pembangkang.

“Di tengah-tengah kemelut politik yang memberi kita (rakyat Pulau Pinang) lihat betapa jijiknya (perancangan) untuk menjatuhkan sebuah Kerajaan (Persekutuan) yang dipilih oleh rakyat,” ujarnya yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong sebelum menyempurnakan gimik perasmian majlis pecah tanah projek tersebut.

Terdahulu, Zolkifly dan Khaliq Mehtab masing-masing menzahirkan sokongan secara terbuka terhadap Pakatan Harapan, ketika berlakunya peralihan kuasa di peringkat Kerajaan Persekutuan baru-baru ini.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : LAW SUUN TING