Sokongan semua pihak amat diperlukan bagi mencapai visi Penang2030 – Kon Yeow

Admin

PERAI – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa peranan Kerajaan Negeri sahaja adalah tidak mencukupi untuk mencapai visi Penang2030, sebaliknya ia memerlukan sokongan semua pihak.

Menurut beliau, visi yang mengandungi empat teras utama dan 16 inisiatif strategik memfokuskan kekeluargaan itu akan menjadi panduan kepada Kerajaan Negeri dalam merangka pembangunan menyeluruh serta memastikan mutu kehidupan rakyat semakin meningkat.

Ribuan pemgunjung terdiri daripada masyarakat berbilang kaum dan agama hadir memeriahkan majlis.

 

 

 

 

 

 

“Visi Penang2030 akan menjadi panduan kepada Kerajaan Negeri bersama-sama rakyat untuk menuju ke tahap pembangunan yang menyeluruh bukan sahaja daripada segi ekonomi tetapi juga dalam bidang sosial, agama, budaya selain memastikan mutu kehidupan kian meningkat.

“Kalau boleh kita (Kerajaan Negeri) tidak mahu lagi melihat rakyat di negeri ini hidup di dalam kepompong kemiskinan.

“Justeru, kerjasama semua pihak termasuk kerajaan Persekutuan agensi kerajaan, syarikat korporat, badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan juga masyarakat amat diperlukan untuk mencapai visi ini,” ucapnya pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya dan Sambutan Ulang Tahun Ke-25 restoran rangkaian Nasi Kandar Pelita dekat Dewan Serbaguna Chai Leng Park di sini sebentar tadi.

Hadir memeriahkan majlis adalah Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy; Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh; Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin dan Mufti Pulau Pinang Sahibus Samahah Dato’ Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor.

Pengerusi Eksekutif Pelita Samudra Pertama (M) Sdn. Bhd. (Pelita), Datuk Shamsuri Ahmad; Pengarah Urusan Pelita Tan Sri Datuk Ramesh; Ahli-ahli Lembaga Pengarah Pelita Samudra Pertama (M) Sdn. Bhd.; Ketua Polis Negeri Pulau Pinang, Datuk T. Narenasagaran serta dif-dif kehormat yang lain juga turut hadir.

Mengulas lanjut, Kon Yeow menjelaskan bahawa kerjasama antara semua pihak penting dalam usaha membentuk masyarakat saling memahami dan bersatu-padu seperti mana dilaksanakan syarikat Pelita yang tidak pernah gagal menganjurkan program tanggungjawab sosial korporat sempena Hari Raya Aidilfitri pada setiap tahun.

Syarikat Pelita turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM100,000 untuk diagihkan kepada 31 buah sekolah di negeri ini.

 

 

 

 

 

 

“Diharapkan rangkaian Nasi Kandar Pelita akan terus maju sebagai sebuah syarikat yang bermula secara kecil-kecilan dan kini berkembang dengan mempunyai 28 cawangan di seluruh negara.

“Usaha ini diharap dapat menjadi contoh kepada kita semua untuk sama-sama mencapai kecemerlangan dalam apa jua perkara yang dilakukan,” ujarnya.

Pada majlis itu juga, sebanyak 1,000 hamper diagihkan kepada penerima yang layak selain sumbangan RM100,000 yang diagihkan kepada 31 sekolah terpilih di negeri ini.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI