SPA terbuka menyelesaikan permasalahan berbangkit

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow hari ini menerima kunjungan hormat Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Malaysia, Tan Sri Zainal Rahim Seman di pejabat beliau dekat Komtar.

Pertemuan kira-kira 20 minit itu menyentuh mengenai fungsi dan peranan SPA Malaysia dalam melaksanakan urusan pelantikan bagi perkhidmatan awam sama ada berstatus jawatan tetap mahupun kontrak sebagaimana yang digariskan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Tan Sri zainal Rahim Seman mengadaka pertemuan empat mata bersama Ketua Menteri sebelum sesi taklimat oleh SPA Malaysia.

Turut dibincangkan adalah rancangan untuk mewujudkan perjawatan bagi mengisi keperluan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) yang dijangka menjadi bidang penting pada masa akan datang.

 

Zainal Rahim berkata, SPA terbuka untuk menyelesaikan segala permasalahan berbangkit yang kemukakan oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada pertemuan pertama di Putrajaya tahun lepas.

“Rentetan pertemuan itu, saya dan pasukan setuju turun ke negeri (Pulau Pinang) untuk memberikan taklimat ringkas mengenai peranan SPA Malaysia dan tugas-tugas di negeri berkaitan seperti Perlis, Negeri Sembilan dan Melaka,” ujarnya.

Seusai pertemuan empat mata, kedua-duanya kemudian menyertai taklimat berkaitan tugas-tugas SPA Malaysia bagi anggota perkhidmatan awam Pulau Pinang yang disampaikan oleh Timbalan Setiausaha SPA Malaysia, Datuk Ikhbal Hanam Mukhras.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Abdul Razak Jaafar; Penasihat Undang-undang Negeri, Dato’ Norazmi Mohd. Narawi; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Ahmad Rizal Mohd. Hanapiah; Pegawai Undang-undang SPA Malaysia, Salwa Mhd. Asrar serta Setiausaha Bahagian, Wan Zulhazmi Wan Yusof.

Antara yang disentuh dalam sesi taklimat berkenaan adalah perihal pelantikan tetap dan kontrak, pengesahan jawatan, kenaikan pangkat, pertukaran kakitangan awam serta tindakan tatatertib.

Sesi taklimat oleh SPA berkaitan urusan pelantikan kakitangan awam tetap dan kontrak di negeri ini.

Difahamkan, seramai 650 orang telah dilantik ke perjawatan tetap bagi Perkhidmatan Awam Negeri Pulau Pinang bagi tahun 2016 hingga 2020 manakala seramai 319 orang pula dilantik sebagai kakitangan atau pegawai kontrak di bawah Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam tempoh yang sama.

Dalam pada itu, Kon Yeow menzahirkan ucapan penghargaan atas kesudian pasukan SPA Malaysia berkunjung ke negeri ini bagi menyelesaikan masalah-masalah berbangkit berkaitan urusan pelantikan penjawat awam negeri Pulau Pinang.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD