SPRM beri tumpuan kepada penjawat awam, kes berskala besar babit ketirisan dana awam

GEORGE TOWN – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Pulau Pinang akan memberikan tumpuan kepada penjawat awam dalam usaha menangani kes-kes rasuah di negeri ini.

Pengarah SPRM Negeri Pulau Pinang, Ruslan Tuan Mat menyatakan perkara itu semasa mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dekat pejabat beliau dekat Komtar sebentar tadi.

Pengarah SPRM Negeri Pulau Pinang tang baharu, Ruslan Tuan Mat mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri sebentar tadi.

“Sebanyak 60 peratus aktiviti SPRM pada tahun ini adalah memfokuskan kepada penjawat awam manakala 40 peratus lagi melibatkan orang awam dan syarikat-syarikat swasta.

“Aktiviti yang dimaksudkan bukan hanya dari segi tindakan penguatkuasaan tetapi juga merangkumi penerangan, kempen kesedaran serta pendidikan mengenai jenayah rasuah,” katanya.

Pada masa sama, kata Ruslan, SPRM juga akan memberikan tumpuan terhadap kes-kes rasuah berskala besar terutamanya yang membabitkan ketirisan dana awam.

“Berdasarkan maklumat yang saya terima, Kerajaan Negeri dan semua agensi berkaitan sememangnya memberikan kerjasama yang sangat baik kepada SPRM sebelum ini.

Menyampaikan cenderahati kepada Ketua Menteri.

“Namun begitu, kita masih berharap agar Ketua Menteri dan Kerajaan Negeri terus memberikan sokongan kepada pihak SPRM terutamanya dalam kes-kes yang melibatkan penjawat awam.

“Oleh itu, SPRM bercadang mengadakan pertemuan dengan yang Dipertua Dewan Negeri untuk mengadakan perjumpaan khas dengan barisan Exco Kerajaan Negeri bagi memberikan penerangan berkaitan rasuah,” katanya sambil menuntut kerjasama daripada masyarakat di negeri ini.

Ruslan, 58, yang merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial dari Universiti Sains Malaysia (USM) mempunyai pengalaman cukup luas sejak beliau mula berkhidmat pada Januari 1996.

Sebelum dilantik sebagai Pengarah SPRM Negeri Pulau Pinang pada 1 Ogos lalu, anak kelahiran Kelantan itu pernah berkhidmat sebagai Timbalan Pengarah Bahagian Operasi Khas di Putrajaya sejak 1 Januari 2020.

Dalam pada itu, Kon Yeow menyatakan bahawa setakat ini Kerajaan Negeri Pulau Pinang belum menerima sebarang aduan salah laku berkaitan rasuah membabitkan ahli-ahli Exco.

“Kerajaan Negeri kini dalam usaha untuk mengumumkan pengisytiharan harta dalam kalangan barisan pimpinan tetapi masih belum dapat berbuat demikian kerana masalah dokumen yang tidak lengkap.

“Bagi penggal ini, kita (Kerajaan Negeri) hanya membuat pengisytiharan harta sebanyak sekali sahaja iaitu pada permulaan penggal tetapi cadangan kita adalah sebanyak tiga kali dalam satu penggal,” ujarnya.

Turut hadir pada sesi kunjungan hormat tersebut ialah Timbalan Pengarah Pencegahan, Chin Chen Huat; Ketua Cawangan SPRM Seberang Perai, Roslan Deraoh; Ketua Siasatan Negeri, Khairul Ridzuan Ikhsan; Timbalan Ketua Siasatan Negeri, A. Geetha dan Unit Pendidikan masyarakat, Mazlan Haja Maideen.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS