SPRM tutup kes politik wang PRU13 dipersoal

GEORGE TOWNWibawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang terus dipersoal gara-gara Pengarahnya, Datuk M.Samarajoo menutup kesemua fail siasatan kes penyelewengan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) kononnya atas dalih tiada bukti ditemukan.

Datuk Abdul Halim Hussain berkata, SPRM tidak pernah memanggilnya untuk memberi keterangan sungguhpun bekas calon yang tewas di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Teluk Bahang itu sebelum ini ada membuat aduan lengkap dengan bukti berwajib.

Justeru, beliau menunjukkan beberapa bahan bergambar serta rakaman video yang nyata mendedahkan bukti wujudnya amalan membeli undi di kawasan yang beliau bertanding pada 5 Mei lepas untuk dinilai oleh wartawan pula.

“Kalau ini bukan politik wang, apa lagi yang patut dipanggil kerana ada orang membayar, ada pengundi menerima dan ada saksi sanggup beri ketenangan jika SPRM buka semula fail siasatan,” ujar Abdul Halim di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, peguamnya Datuk Praba Karan dan S. Raveentharan akan turut berusaha mendapatkan respons lanjut daripada Pejabat Peguam Negara, selain menuntut fail siasatan berwajib dibuka semula oleh SPRM.

“Kita juga akan tuntut penjelasan Peguam Negara (Tan Sri Abdul Ghani Patail. Kita minta buka semula fail siasatan kerana bukti-bukti yang sedia ada cukup untuk proses siasatan,” ujar Abdul Halim yang kini merupakan Pegawai Penyelaras Kawasan DUN Teluk Bahang.

Beberapa bekas calon pilihan raya lain seperti Mohd. Bakhtiar Wan Chik (Parlimen Balik Pulau), Mohd. Tuah Ismail (DUN Pulau Betong), Rosidi Hussain (Penaga) turut hadir pada sidang media itu.

Terdahulu, Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin dalam satu kenyataan lain turut mempertikai keputusan SPRM negeri menutup kesemua fail kes aduan penyelewengan pilihan raya yang dibuat oleh bekas-bekas calon Pakatan Rakyat.

Pada 13 Mei lepas, 10 bekas calon pilihan raya dilaporkan membuat aduan di Kompleks Ibu Pejabat SPRM di sini. Mereka, Abdul Halim, Mohd Bakhtiar, Asnah Hashim (Dun Bayan Lepas), Mohd. Tuah , Rosidi , Ahmad Zakiyuddin Abd.Rahman (Dun Pinang Tunggal) , Norhayati Jaafar (Dun Teluk Air Tawar) dan Arshad Md. Salleh (Dun Permatang Berangan).

Manakala, Badrul Hisham Shaharin yang lebih dikenali sebagai “che’GuBard” (DUN Sungai Acheh) dan Syed Mikael Rizal Aidid (DUN Bertam) dilaporkan membuat aduan berasingan di pejabat SPRM Pulau Pinang dekat Seberang Perai.

Kesemua mereka diminta supaya tidak mendedahkan bukti berwajib kepada khalayak atau media demi melancarkan proses siasatan dalaman oleh SPRM sendiri.

Pun begitu, langkah terbaru SPRM Pulau Pinang mengumumka n ba hawa kesemua fail siasatan berwajib ditutup atas dalih tiada bukti ditemukan mengakibatkan wibawa suruhanjaya itu terus dipertikai sampai sekarang.