SPRM wajar perincikan status siasatan kes di Pulau Pinang, Kon Yeow respons pembangkang

GEORGE TOWN – Di Pulau Pinang, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam tempoh sejak 2020 hingga 2022 telah membuka lapan kertas siasatan terhadap individu-individu yang berkenaan meliputi jenis kes jenayah rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.

Bagaimanapun Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memberitahu bahawa suruhanjaya itu wajar memperincikan status siasatan kes-kes berkaitan termasuk dalam proses pendakwaan di mahkamah serta yang telah dibuktikan bersalah.

Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang berkata demikian semasa menjawab Soalan Lisan yang dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga, Mohd. Yusni Mat Piah dalam Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Pulau P-inang Ke-14 di sini pada 21 November 2022.

“Kerajaan Negeri Pulau Pinang terbuka bagi menerima sebarang (proses) siasatan berkaitan jenayah rasuah dan salah guna kuasa yang melibatkan Exco, ADUN serta kakitangan Kerajaan Negeri.

“Sebarang bentuk kesalahan akan disiasat oleh agensi penguatkuasaan dan disabitkan kesalahan oleh pihak pendakwaan.

“Penjawat awam yang terlibat dengan kes menerima rasuah, menyalahguna kuasa serta membuat tuntutan palsu perlu disiast sewajarnya.

“Bagaimanapun, SPRM wajar telus dalam menyatakan kes yang didakwa di mahkamah (serta) pihak yang didapati bersalah,” jelasnya yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi.

Sebelum pada itu, Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota turut menjelaskan bahawa bagi siasatan yang melibatkan kakitangan Kerajaan Negeri, pihak berkuasa tatatertib boleh mengambil tindakan di bawah Peraturan 44, Peraturan-Peraturan Penjawat Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993; atau Peraturan-Peraturan Penjawat Awam (Kelakuan dan Tatatertib) Pulau Pinang, 1997 bagi tujuan penahanan kerja sekiranya melibatkan prosiding jenayah.

“Dalam tempoh penahanan kerjanya di bawah peraturan ini, seorang pegawai berhak melainkan jika atau sehingga digantung kerja atau dibuang kerja untuk menerima tidak kurang daripada setengah émolumennya sebagaimana yang difikirkan patut oleh Pihak Berkuasa Tatatertib yang berkenaan.

“Selain itu, Kerajaan Negeri telah dan akan mengambil tindakan terhadap semua laporan SPRM setelah laporan lengkap diterima daripada SPRM berhubung dengan siasatan mereka, dan sekiranya tidak disabitkan kesalahan (peringkat) mahkamah (maka) Kerajaan Negeri juga tidak akan menyembunyikan sebarang makluman yang berkaitan laporan sedemikian,” ujarnya.

Sebagai contoh, Kon Yeow memberitahu bahawa Pejabat Ketua Menteri pada 30 September 2022 telah mengeluarkan kenyataan akhbar secara terbuka bagi menerima sebarang bentuk siasatan yang berkaitan jenayah rasuah melibatkan penjawat awam di Pulau Pinang.

“Ianya (kenyataan akhbar secara terbuka tersebut) adalah selari dengan dasar ‘Cekap, Akauntabel dan Telus’ yang diamalkan oleh Kerajaan Negeri hari ini, sejak tahun 2008…dengan izin ‘tidak ada sesiapa pun lebih tinggi berbanding undang-undang’,” ulasnya yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD & NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI