Stadium Mini Permatang Rawa siap dinaik taraf

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang hari ini menandatangani tiga perjanjian berkaitan pemilikan dan pengurusan Stadium Mini Permatang Rawa yang telah siap dinaik taraf.

Ketiga-tiga perjanjian itu ditandatangani di antara Kerajaan Negeri bersama dengan Perbadanan Stadium dan Kawasan Lapang Pulau Pinang serta Syarikat AEI International Berhad (AEI) meliputi perjanjian tambahan kedua, perjanjian novasi serta perjanjian pajakan.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pemeteraian perjanjian tersebut membolehkan liabiliti Kerajaan Negeri diserahkan kepada Perbadanan Stadium dan Kawasan Lapang Pulau Pinang.

Wakil-wakil Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Perbadanan Stadium dan Kawasan Lapang Pulau Pinang dan Syarikat AEI International Berhad memeterai perjanjian berkaitan pemilikan dan pengurusan Stadium Mini Permatang Rawa dekat Komtar sebentar tadi.

“Dengan ini, bangunan dan tanah Stadium Mini Permatang Rawa diserahkan kepada Perbadanan Stadium dan Kawasan Lapang Pulau Pinang sebagai penjaga harta milik Kerajaan Negeri untuk diuruskan.

“Ia sesuai dengan objektif utama penubuhannya (Perbadanan Stadium dan Kawasan Lapang Pulau Pinang) iaitu membangun, mengurus, mengawal dan menyelenggara stadium dan kawasan lapang di negeri ini.

“Seterusnya, Perbadanan Stadium dan Kawasan Lapang Pulau Pinang dibenarkan memajak tanah kepada syarikat AEI bagi tujuan pengoperasian Stadium Mini Permatang Rawa,” katanya pada Majlis Menandatangani Perjanjian Projek Penaiktarafan Stadium Mini Permatang Rawa dekat Komtar di sini sebentar tadi.

Turut hadir, Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar; Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato’ Norazmi Mohd. Narawi; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato’ Azhar Arshad; Pengarah AEI, Datuk Joseph Kow; Penasihat Undang-Undang AEI, Datuk Nicholas Know serta Eksekutif pentadbirannya, Kharulnisa Husna.

Kon Yeow berkata, kerja-kerja menaik taraf Stadium Mini Permatang Rawa menelan kos keseluruhan berjumlah RM3.535 juta yang mana sebanyak RM2.4 juta adalah dibiayai oleh Kerajaan Negeri manakala baki RM1.135 juta lagi oleh Syarikat AEI.

Kerja menaik taraf adalah melibatkan padang bola sepak menggunakan rumput sintetik berteknologi tinggi dari Itali.

“Mengimbas kembali, perjalanan Kerajaan Negeri dalam merealisasikan projek penaiktarafan stadium mini ini tidaklah mudah.

“Pelbagai sesi perbincangan, mesyuarat dan kertas pertimbangan MMK (Mesyuarat Exco) telah diadakan sejak tahun 2016 sehingga kini, sebelum Kerajaan Negeri bersetuju memuktamadkan dan menandatangani perjanjian pada hari ini.

“Pada tahun 2018, Kerajaan Negeri bersetuju melantik Syarikat AEI International Berhad sebagai pelaksanaan projek dan kerja-kerja penaiktarafan merangkumi skop-skop kerja seperti menaik taraf rumah kelab, astaka, padang bola sepak serta membina lima gelanggang futsal,” ulasnya lanjut.

Sementara itu, Joseph Kow ketika ditemui menjelaskan bahawa melalui perjanjian itu, Syarikat AEI akan mengendalikan pengurusan dan perjalanan operasi termasuk kerja-kerja penyelenggaraan Stadium Mini Permatang Rawa untuk tempoh 15 tahun.

“Stadium Mini Permatang Rawa sudah terbiar dan usang sejak 15 tahun lalu, dan kami diminta oleh Kerajaan Negeri untuk melakukan kerja-kerja menaik taraf yang mana ia juga sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) kami.

Lima gelanggang futsal dengan dua gelanggang terbuka dan tiga gelanggang tertutup antara kemudahan yang terdapat di Stadium Mini Permatang Rawa.

“Antaranya adalah menaik taraf padang bola sepak menggunakan rumput sintetik berteknologi tinggi dari Itali serta mengikut piawaian antarabangsa Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

“Selain itu, stadium mini ini juga menyediakan lima gelanggang futsal iaitu dua gelanggang futsal terbuka dan tiga gelanggang futsal tertutup serta ruangan pejabat,” ulasnya.

Beliau berkata, Stadium Mini Permatang Rawa telah memperoleh Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC) yang dikeluarkan oleh Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) pada 14 Januari 2021 manakala Sijil Siap dan Pematuhan (CCC) pada 22 Oktober lalu.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : CHAN KOK KUAN
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD