Status ‘Bandar Pintar’ lebih cepat dicapai sekiranya rakyat sedia terima cadangan pembangunan

BAYAN LEPAS – Hasrat Kerajaan Negeri mahu menjadikan Pulau Pinang sebagai bandar pintar dan bertaraf antarabangsa menjelang tahun 2025 akan lebih cepat dicapai jika rakyat bersedia menerima cadangan pembangunan yang dirancang.

Perkara itu dinyatakan Ketua Bahagian Hal Ehwal Pos dan Dagang, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Mohamed Zaidi Abdul Karim.

Antara ahli jawatankuasa penganjur program yang terlibat.

Menurutnya, dalam menjayakan misi penting tersebut, empat teras utama harus diberikan perhatian iaitu tadbir urus, infrastruktur, data dan juga rakyat.

“Rakyat adalah teras yang harus diberi penekanan paling tinggi kerana merekalah yang akan menerima manfaat daripada misi dan visi bandar pintar ini.

“Kemudahan yang akan dibangunkan di bawah agenda bandar pintar tidak akan mencapai sasarannya sekiranya masyarakat tidak dapat menerima pembangunan yang dirancang.

“Hal ini kerana semua agenda yang dirancangkan ini adalah bagi memenuhi keperluan masyarakat,” katanya ketika berucap pada sesi Smart Network for Better World, sempena penganjuran program penerangan Penang Beyond Smart Government and Smart Network for a Better World di sini, petang tadi.

Hadir sama, Pengarah Pejabat Pembangunan Persekutuan Pulau Pinang, Datuk Dr. Mohamad Farazi Johari dan Pengarah Hal Ehwal Korporat edotco (M) Sdn. Bhd., Abdurrahman Othman.

Mengulas lanjut, Mohamed Zaidi menjelaskan bahawa ramai stakeholder termasuk ahli akademik, penyelidik, pentadbir masyarakat, pentadbir negeri, badan bukan kerajaan serta wakil pengguna terlibat sama dalam usaha merealisasikan agenda tersebut.

“Sebab itu, kita turut adakan beberapa pembentangan khusus daripada pakar-pakar dalam bidang masing-masing termasuk pembangunan infrastruktur dan prasarana komunikasi.

“Kita (SKMM) berharap agar masyarakat mendapat informasi terkini dan lebih bermaklumat mengenai infrastruktur berkaitan oleh syarikat komunikasi yang sentiasa dipantau dan selamat,” ujarnya lagi.

Difahamkan, seramai 100 peserta menyertai program penerangan tersebut yang dibahagikan kepada empat sesi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : LAW SUUN TING