Status Warisan Negeri boleh dimohon semua pihak, perlu penilaian teliti

ika 6261

 

Pewartaan warisan di Pulau Pinang sama ada ketara mahupun tidak ketara sangat penting dalam memastikan warisan negeri ini terus hidup tidak ditelan zaman dan boleh ditatap oleh generasi ke generasi.

Menurut Pengarah Pesuruhjaya Warisan Negeri Pulau Pinang, Ar. Zalena Abdul Aziz, proses pewartaan melibatkan beberapa peringkat, termasuk pencalonan, pengesahan dokumentasi, penilaian jawatankuasa pakar serta kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) sebelum sesuatu bahan warisan boleh diwartakan secara rasmi.

“Pencalonan boleh dikemukakan oleh mana-mana pihak menerusi borang yang disediakan di laman sesawang suruhanjaya warisan, namun dokumentasi lengkap amat penting bagi menyokong permohonan.

“Bagi warisan tidak ketara seperti seni persembahan, adat dan makanan tradisional, kita amat menggalakkan penggiat atau komuniti yang terlibat mengemukakan pencalonan kerana mereka lebih memahami sejarah, amalan serta kepentingan warisan berkenaan.

“Dokumentasi seperti gambar, bahan sejarah dan buku berkaitan juga amat membantu proses penilaian,” ujar Zalena ketika ditemu bual wartawa Buletin Mutiara, WATAWA NATAF ZULKIFLI bersama jurufoto SITI NURATIKAH RAHMAT di Komtar di sini hari ini.

Jelas Zalena, setiap pencalonan akan disalurkan kepada jawatankuasa berkaitan mengikut kategori, termasuk warisan ketara, warisan tidak ketara dan arkeologi, untuk dinilai oleh pakar yang dilantik daripada institusi akademik serta badan profesional.

“Bagi pencalonan bangunan warisan, antara perkara penting yang perlu dipenuhi ialah mendapatkan persetujuan pemilik bangunan dan pemilik tanah, selain memastikan dokumen sokongan lengkap.

“Proses ini bukan sekadar mengemukakan borang dan terus mendapat kelulusan. Kita perlu membuat pengesahan di peringkat pejabat, mendapatkan pandangan teknikal jabatan berkaitan serta memastikan semua maklumat yang dikemukakan adalah tepat.

“Selepas mendapat kelulusan MMK, perkara itu akan dirujuk kepada Penasihat Undang-Undang Negeri untuk semakan perundangan sebelum proses pewartaan dapat diteruskan,” jelas beliau lagi.

Terdahulu, dalam satu sidang media pada 3 September lalu, Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai memberitahu bahawa tahun 2026 mencatat perkembangan positif dalam usaha pemeliharaan dan pemuliharaan warisan apabila sebanyak 57 item telah diwartakan sebagai Warisan Negeri di bawah Enakmen 14.

dsc 5361 2 dsc 5387 2 dsc 5414 2 dsc 5535 2 dsc 5612 2 dsc 5865 2

 

Menurutnya, jumlah tersebut merangkumi 15 tapak bersejarah, makanan (28) serta Warisan Tidak Ketara (7) yang telah diumumkan sebelum ini, selain pewartaan terbaharu yang menjadikan keseluruhan sebanyak 57 item.

CABARAN PEMILIKAN TANAH DAN PENYELENGGARAAN

Mengulas mengenai usaha mengenal pasti bangunan yang berpotensi diangkat sebagai warisan negeri, Zalena berkata, pihaknya mempunyai senarai bangunan yang belum diwartakan dan sedang menjalankan proses inventori serta pengesahan maklumat.

Bagaimanapun, usaha berkenaan berdepan beberapa cabaran, khususnya berkaitan status pemilikan tanah, kesukaran menghubungi pemilik serta pengubahsuaian bangunan yang menyebabkan struktur asalnya berubah.

Beliau mengambil contoh Kampung Melayu Air Itam yang mempunyai nilai sejarah dan budaya, termasuk rumah suluk yang dikaitkan dengan perkembangan awal pengajian agama  berkait Makam Syeikh Omar.

“Usaha pencalonan kawasan itu memerlukan penglibatan pemilik tanah dan bangunan, namun terdapat hartanah yang masih menggunakan nama pemilik terdahulu atau mempunyai urusan pemilikan yang belum diselesaikan.

“Antara cabaran utama ialah pemilikan tanah yang belum disempurnakan, pemilik yang menetap di luar serta kesukaran mendapatkan persetujuan semua pihak berkaitan.

“Selain itu, ada bangunan yang telah diubah suai sehingga ciri seni binanya tidak lagi berada dalam keadaan asal.

“Dalam keadaan sedemikian, penilaian turut mengambil kira aspek lain seperti nilai sosial, budaya dan sosioekonomi, bukan seni bina semata-mata,” maklum beliau lagi.

TANGGUNGJAWAB PENYELENGGARAAN DI BAHU PEMILIK

Dalam pekembangan lain, Zalena turut menyatakan bahawa tanggungjawab utama untuk memastikan bangunan warisan berada dalam keadaan baik terletak pada pemilik bangunan, manakala pihak Kerajaan Negeri membantu mengikut kemampuan dan sumber kewangan yang tersedia.

Ulasnya, kerja penyelenggaraan bangunan warisan boleh melibatkan kos yang tinggi, justeru peruntukan sedia ada perlu diuruskan dengan teliti mengikut keperluan dan tahap kerosakan setiap bangunan.

“Apabila sesebuah bangunan diiktiraf sebagai warisan, itu tidak bermakna semua kos penyelenggaraannya ditanggung oleh Kerajaan Negeri.

“Tanggungjawab pemilik untuk menjaga bangunan tersebut tetap perlu diberi perhatian.

“Kita akan membantu setakat yang mampu, termasuk berusaha mendapatkan sumber kewangan daripada agensi berkaitan bagi melaksanakan aktiviti pemeliharaan dan pemuliharaan,” tegasnya lagi.

Mengulas lanjut, Zalena berkata kerjasama antara pemilik bangunan, komuniti, agensi kerajaan dan badan profesional amat penting bagi memastikan warisan negeri terus terpelihara untuk generasi akan datang.

Menurutnya, usaha pewartaan juga perlu disusuli dengan pendokumentasian dan aktiviti pengenalan kepada masyarakat supaya nilai sejarah serta kepentingan sesuatu warisan dapat difahami dengan lebih meluas.

“Jadi saya ingin menggalakkan orang ramai dan komuniti yang mempunyai maklumat mengenai bangunan, seni persembahan, adat resam serta warisan-warisan tradisi yang berpotensi diangkat sebagai Warisan Negeri supaya mengemukakan pencalonan berserta dokumentasi sokongan yang lengkap,” maklumnya.

Menyentuh berkenaan Masjid Jamek Batu Uban pula Zalena menegaskan masjid tersebut masih termasuk dalam aspek bersejarah walaupun struktur asal dikatakan hanya empat tiang seri bersama telaganya sahaja.

“Ia masih boleh diangkat (sebagai warisan) cuma ada beberapa permasalahan dari segi milikan tanah dan pengesahan hak milik tanah.

“Namun dari segi satu sudut pula, ada stigma menganggap apabila diangkat sebagai warisan mereka tidak boleh buat apa-apa lagi pada struktur tersebut,” katanya lagi.

Sekiranya melibatkan bangunan baharu berhampiran asal beberapa garis panduan seperti jarak dan ketinggian perlu dipatuhi agar status warisan terus terpelihara.