Stesen Pam Bukit Dumbar 2, jamin bekalan air & elak catuan air

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : SHUM JIAN-WEI

 

BATU LANCHANG – Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn. Bhd. (PBAPP) membelanjakan RM11.9 juta bagi membina Stesen Pam Bukit Dumbar 2 (BD2) sebagai memantapkan jaminan bekalan air dan sekaligus mengelakkan catuan air.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, stesen pam tersebut direka bentuk untuk mengepam sehinggga 270 juta liter air sehari demi memenuhi keperluan 315,000 pengguna di bahagian pulau.

“Jumlah tersebut merangkumi 40 peratus kapasiti penduduk di bahagian pulau dan dalam menjamin tiada catuan air, kita (Pulau Pinang) tidak boleh bergantung kepada hujan semata-mata, jadi kita perlu membina infrastruktur yang efisien seperti BD2.

“Secara tidak langsung, inisiatif ini juga dapat meningkatkan keyakinan pelabur untuk datang ke Pulau Pinang,” katanya pada Majlis Perasmian BD2 di sini barubaru ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon; Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy; Exco Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan, Lim Hock Seng; Pengurus Besar PBAPP, Dato’ Ir. Jaseni Maidinsa dan Ahli-ahli Lembaga Pengarah PBAPP.

Stesen Pam BD2 akan menyokong kapasiti air dari Stesen Pam Bukit Dumbar 1 yang beroperasi sejak tahun 1980.

Menurut Guan Eng yang juga Pengerusi PBAPP, pembinaan stesen pam tersebut merupakan sebahagian daripada pelan pembangunan PBAPP bagi tahun 2016 demi menjaga kelangsungan pembekalan air di negeri ini.

“Tahun ini, kita (PBAPP) menjalankan beberapa projek menambah baik infrastruktur air merangkumi Pakej 12 Rawatan Loji Air Sungai Dua bernilai RM54.9 juta, dua kolam air terawat konkrit di Jawi, Seberang Perai Selatan (SPS) bernilai RM16.7 juta dan membina saluran paip 900 milimeter (mm) dari Sungai Keluang sepanjang Jalan Tun Dr. Awang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dengan kos RM6 juta,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Guan Eng turut melahirkan kekesalan terhadap Kerajaan Pusat yang masih gagal menyiapkan projek naiktaraf Empangan Mengkuang (MDEP) yang tertunda selama 12 bulan serta tiada sebarang kemajuan dalam Skim Penyaluran Air Mentah Sungai Perak (SPRWTS) yang dicadangkan Kerajaan Negeri sejak 2008.

“Kerajaan Negeri pada tahun 2011 telah menandatangani perjanjian dengan Kerajaan Pusat untuk Inisiatif Penstrukturan Semula Perkhidmatan Bekalan Air Negara (NSWRI) yang mencakupi MDEP dan SPRWTS.

“Ini bukan sahaja memberikan kebaikan kepada negeri ini, bahkan impak positif kepada Koridor Ekonomi Wilayah Utara (NCER) di wilayah utara,” ujarnya.} else {