Tarif air P. Pinang termurah, tetapi catat penggunaan tertinggi dalam negara – KM

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri tidak berhasrat untuk mengenakan catuan air di negeri ini selaras dengan prinsip ‘tiada catuan air walau apa cara sekalipun’.

Guan Eng yang juga Pengerusi (Bukan Eksekutif) Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn. Bhd. (PBAPP) berkata, para pelabur di negeri ini tidak perlu bimbang kerana Pulau Pinang berpegang kepada prinsip tiada catuan air.

“Walaupun kebanyakan negeri menghadapi isu bekalan air, kita di Pulau Pinang berbangga kerana masih mengekalkan rekod tanpa catuan air sejak 60 tahun lalu walaupun dalam keadaan cuaca yang tidak menentu.“Buat masa ini, paras air di Empangan Air Itam hampir penuh dan Empangan Teluk Bahang telah mencecah kapasiti 55 peratus.

“(Dan) kita (Kerajaan Negeri) memberi jaminan kepada semua pelabur bahawa pihak pengurusan PBAPP akan bekerja keras dalam memastikan prinsip tiada catuan air dikekalkan dan pada masa sama memastikan bahawa kita (Pulau Pinang) mempunyai bekalan air alternatif juga,” ujarnya pada sidang media selepas merasmikan Minggu Genetik B. Braun dekat Wisma Yeap Chor Ee di sini baru-baru ini.

Walau bagaimanapun, Guan Eng sedikit terkilan apabila Pulau Pinang mencatatkan penggunaan air tertinggi iaitu 300 liter padu per kapita sehari (l/c/d) di Malaysia berbanding purata nasional sebanyak 212 l/c/d.

“Kita (Pulau Pinang) menjadi negeri yang mencatatkan tarif air termurah dan terendah iaitu RM0.32, tetapi menjadi pengguna air tertinggi dalam negara iaitu 300 l/c/d, walaupun PBAPP telah melaksanakan surcaj (WCS) bagi penggunaan melebihi 35,000 liter sebulan,” ujar beliau.if (document.currentScript) {