Struktur binaan tanpa lesen diroboh MPPP

Admin

 

ANGGOTA Penguatkuasa MPPP bertungkus-lumus menurunkan struktur cermin pintu berkaca pada operasi perobohan di sebuah pusat membeli belah terkemuka di sini baru-baru ini.
ANGGOTA Penguatkuasa MPPP bertungkus-lumus
menurunkan struktur cermin pintu berkaca pada operasi
perobohan di sebuah pusat membeli belah terkemuka di sini
baru-baru ini.

GEORGE TOWNBertindak atas maklumat awam, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) telah merobohkan struktur tambahan yang tidak mempunyai kelulusan dan binaan melebihi garisan bangunan ditetapkan di sebuah pusat membeli-belah terkemuka di sini baru-baru ini.

Jurucakap MPPP berkata, sebelum mengambil sebarang tindakan, pihak majlis telah mengeluarkan notis pertama pada 22 Disember 2011 di bawah Seksyen 97 Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 kepada pemilik premis.

“Tempoh telah diberikan kepada pemilik agar patuhi garis panduan binaan tambahan sehingga 1 Mei 2012. Memandangkan kehendak notis masih tidak diikuti, pihak MPPP telah bertindak mengambil dan merampas perabot di premis berkenaan.

“Pada masa sama, Bahagian Perlesenan MPPP turut menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa dan amaran lisan juga telah diberikan ekoran aduan orang ramai serta penghuni pangsapuri (di atas kompleks) berhubung bunyi bising yang berlanjutan hingga lewat pagi dan juga kejadian pergaduhan yang berlaku,” katanya sejurus selepas selesai operasi berkenaan di sini baru-baru ini.

Kira-kira 20 pegawai dan kakitangan Bahagian Perlesenan, Bangunan, Perancang Bandar dan Unit Penguatkuasa MPPP terlibat dalam operasi berkenaan.

Ekoran struktur bersimen dan berbatu, pihak MPPP mengambil masa hampir dua hari untuk merobohkan struktur yang didapati melanggar garis panduan pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.