Subsidi RM100 sebahagian, Program Lembu Korban Murah MADANI ringankan beban umat

Admin
24d7bd1e 62dd 4cf3 8cf8 c92654ab64a8 KETUA Menteri (kiri) mengiringi Anwar Ibrahim (tengah) menyampaikan plakad agihan lembu korban dalam majlis berkaitan di Masjid Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), KADUN Seberang Jaya di sini tadi.

PENANTI – Mengerjakan haji di Makkah bukan sekadar melaksanakan Rukun Islam yang kelima semata-mata, sebaliknya ruh serta penghayatan daripada melaksanakan ibadah itu mesti membawa kepada agenda memartabatkan Islam serta kedudukan umat apabila pulang ke tanah air Malaysia kelak.

c9dc305e 8fda 4da2 bb7b dbd76014ed14
ANWAR Ibrahim dalam ucapannya turut menzahirkan penghargaan atas santunan Ketua Menteri menyertai ketiga-tiga acara di sini sebentar tadi.

Perdana Menteri, Y.A.B. Dato’ Seri Utama Anwar Ibrahim menyampaikan amanat tersebut sebelum menyerahkan sejumlah 155 ekor lembu korban di bawah Program Lembu Korban Murah MADANI 2026 bagi menyemarak lagi sambutan Hari Raya Aidiladha.

“Mengenai pengalaman mengerjakan ibadah haji, saya percaya ramai sanak saudara dan anggota keluarga kita telah berpeluang mengerjakannya.

“Di sebalik ibadah haji ini, paling penting adalah penghayatan tentang kekuatan iman serta keyakinan kepada Allah S.W.T dan pelaksanaan kata-kata (iaitu bukti kita mengaku sebagai seorang yang beriman kepada Allah S.W.T. dan Hari Akhirat).

“Semasa era penjajahan dahulu, penjajah sendiri pun hairan – seakan ada perubahan luar biasa apabila sekembalinya jemaah haji dari Makkah.

“Selain mengerjakan Haji sesempurna mungkin, mereka pulang ke tanah air dengan ilmu, membuka pusat pendidikan dan mempamerkan akhlak serta semangat perjuangan yang tinggi untuk menuntut kemerdekaan.

“Pada hari ini, walaupun tanah air kita telah mengecapi kemerdekaan, ruh serta kesedaran daripada ibadah mengerjakan haji itu mesti membawa perubahan yang luar biasa juga apabila kembali ke tanah air melalui kerj-kerja memartabat Islam dan kedudukan ummah,” jelasnya sambil merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow kerana turut serta dalam acara komuniti di sini sebentar tadi.

Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Said yang juga Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh; Timbalan Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Permatang Pauh, Amir Md. Ghazali dan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Perak, Dato’ Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal turut menyertai Majlis Agihan Perdana Lembu Korban Peringkat Parlimen Permatang Pauh di Padang Mengkuang Titi, Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Penanti di sini pada 26 Mei 2026.

0a9fac15 d36b 4049 b67c 7dca2611193a
ANWAR Ibrahim (depan, tengah) menyampaikan plakad agihan lembu korban kepada salah seorang penerima, sambil disaksikan oleh Ketua Menteri (depan, kiri) di Masjid Al Falah Pengkalan Tambang dekat KADUN Pengkalan Pasir di sini sebentar tadi.

Sebelum itu, Anwar dengan diiringi Kon Yeow turut menyerahkan sejumlah 88 ekor lembu di bawah Program Lembu Korban Murah MADANI 2026 kepada wakil penerima di Masjid Al Falah Pengkalan Tambang dekat KADUN Permatang Pasir.

Buletin Mutiara dimaklumkan Anwar selaku Pengerusi Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) mencetuskan Program Lembu Korban Murah MADANI 2026.

NACCOL dengan kerjasama Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) di bawah Program Lembu Korban Murah MADANI 2026 telah menyediakan sejumlah 1,000 ekor lembu termasuk 155 ekor yang diagihkan di Kawasan Parlimen Permatang Pauh pada hari ini.

Setiap ‘bahagian’ daripada seekor lembu korban di bawah program ini ditawarkan pada harga serendah RM499 dengan subsidi berwajib sejumlah RM100 daripada ICU JPM bagi menggalakkan umat Islam kebanyakan menyertai ibadah korban ketika ekonomi domestik kian mencabar.

Mengulas lanjut, Anwar merakamkan penghargaan kepada Syed Abu Hussin Hafiz kerana membantu bagi mendapatkan lembu import berkualiti dengan beratan setiap seekor antara 200 kilogram (kg) hingga 250kg.

Jelas wakil Anwar, melalui pelaksanaan Program Lembu Korban Murah MADANI 2026 tersebut membolehkan seramai 616 anak kariah sekitar KADUN Penanti dan Permatang Pasir (469 anak kariah) menyertai ibadah korban perdana peringkat Parlimen Permatang Pauh pada kali ini.

24d7bd1e 62dd 4cf3 8cf8 c92654ab64a8
KETUA Menteri (kiri) mengiringi Anwar Ibrahim (tengah) menyampaikan plakad agihan lembu korban dalam majlis berkaitan di Masjid Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), KADUN Seberang Jaya di sini tadi.

Dalam acara berasingan, Anwar dengan diiringi Kon Yeow turut menyaksikan penyerahan 105 ekor lembu korban yang berlangsung di Masjid Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) dekat KADUN Seberang Jaya.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMMAD IQBAL HAMDAN, DARWINA MOHD. DAUD & ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS, MOHD AIZAT SHARIF FISAUDIN & SITI NUR ATIKAH RAHMAT