GEORGE TOWN – Seramai 16 peniaga air tebu segar Pulau Pinang dipilih sebagai kumpulan perintis program Success Story of Air Tebu yang julung kalinya dilancarkan di sini baru-baru ini.
Program tersebut merupakan kesinambungan projek perintis peniaga air tebu (segar) di Kuala Lumpur dan Putrajaya dalam mentransformasikan pengusaha perusahaan berkaitan agar memenuhi keperluan kebersihan makanan sebagaimana ditetapkan dalam Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009.
Bagi salah seorang peserta, Omar Man, 57, program tersebut secara tidak langsung membantu memberikan manfaat kepada perniagaan yang diusahakan beliau sejak 21 tahun lalu.
“Alhamdulillah, setelah lama berkecimpung dalam perniagaan penghasilan jus tebu, akhirnya ada yang prihatin membantu bagi meningkatkan mutu, hasil dan jualan saban hari.
“Melalui pengalaman dan tunjuk ajar, semoga panduanpanduan ini dapat membantu perniagaan saya untuk terus berkembang termasuk memperoleh pendapatan yang lebih baik pada masa depan,” ujar bapa kepada seorang cahaya mata kepada Buletin Mutiara.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Success Story of Air Tebu di sini baru-baru ini.
Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin menyempurnakan majlis berkaitan.
Turut hadir, wakil Pengarah Kanan, Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Salim Dulati dan Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Keselamatan dan Kualiti Makanan) Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), Ku Nafishah Ku Ariffin.
Pelaksanaan program Success Story of Air Tebu di negeri ini adalah melibatkan kerjasama antara agensi-agensi seperti Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang, FAMA Negeri Pulau Pinang dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) Negeri Pulau Pinang.
Peserta perintis yang terpilih bakal dibimbing oleh JKNPP.
Mengulas lanjut, Omar memberitahu bahawa air tebu buatannya adalah lebih pekat kerana beliau membuang terlebih dahulu kulit ia sebelum diproses.
“Dengan bermodalkan RM1,000, kini saya mampu menjana pendapatan sebanyak RM3,000 sebulan dan memproses kira-kira 500 kilogram batang tebu setiap empat hari bergantung kepada keadaan cuaca,” ujarnya.
Dalam pada itu, Afif memberitahu, pengendalian bahan mentah iaitu batang tebu sebelum diperah adalah amat penting untuk memastikan kekotoran dan bakteria yang hadir dimatikan.
“Penyimpanan batang tebu yang tidak betul dan selamat, meletakkan batang tebu di dalam guni simen, baja, di atas tanah dan memegang tebu yang telah dibersih tanpa mencuci tangan boleh menyebabkan pencemaran pada air tebu yang dihasilkan.
“Walaupun secara praktisnya nampak mudah, tetapi sekiranya batang tebu tidak disimpan dengan cara yang sesuai, akan menyebabkan ia tercemar.
“Sebagai sokongan, Kerajaan Negeri berbesar hati memberikan beberapa peralatan termasuk tong sampah dan bekas mengisi tebu yang telah dibuang kulit secara one off,” jelas beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya.
document.currentScript.parentNode.insertBefore(s, document.currentScript);