Tweet fitnah hasut sentimen kaum & agama, KM lapor polis

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng menyatakan bahawa satu laporan polis telah dibuat berhubung fitnah ‘tweet’ palsu menggunakan nama beliau yang diviralkan di laman media sosial baru-baru ini.

Beliau menyifatkan bahawa fitnah tersebut sebagai satu lagi pembohongan menggunakan namanya bagi tujuan menghasut sentimen perkauman dan agama dalam mencetuskan huru hara di Pulau Pinang.

“Ini adalah palsu dan satu lagi fitnah jahat yang telah digunakan ke atas saya. Saya tidak pernah tweet atau keluarkan kenyataan sedemikian. Laporan polis akan dibuat.

“Jangan percaya fitnah seperti ini,” katanya pada sidang media di sini. Beliau berkata demikian bagi mengulas tweet menggunakan nama beliau di laman Twitter yang bertulis, ‘Larangan pembesar suara di masjid & surau dlm P. Pinang muktamad. Mereka yang tak setuju tak layak tinggal dalam negeri ini. Sila keluar!’

Ini adalah ekoran notis fatwa bertarikh 1 September lalu daripada Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor mengenai kebenaran menggunakan pembesar suara masjid dan surau untuk azan dan iqamah sahaja.

Mengulas lanjut, Guan Eng menegaskan bahawa cubaan mengaitkan diri beliau dengan isu tersebut adalah perbuatan jahat, lebih-lebih lagi kenyataan ingin ‘menghalau’ daripada Pulau Pinang adalah bohong.

“Saya juga tak pernah masuk campur isu membabitkan agama Islam. Ia terletak di bawah kuasa mufti, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) dan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).

“Kerajaan Negeri tak pernah halau sesiapa termasuk mereka yang menyokong Barisan Nasional (BN) iaitu Umno, MCA ataupun Gerakan.

“Tindakan pihak tidak bertanggungjawab ini adalah sengaja untuk mengalih perhatian berhubung skandal rasuah, isu 1MDB, krisis ekonomi dan kenaikan harga minyak,” jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu bahawa setiap tahun, Kerajaan Negeri menyumbang dan memberi peruntukan tahunan kepada anakanak negeri Pulau Pinang tanpa mengira latar belakang politik atau agama asalkan menepati kelayakan ditetapkan. Guan Eng dalam pada itu, berharap supaya Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan ke atas mereka yang memainkan sentimen perkauman dan menghasut sentimen agama dengan sengaja.

“Harap polis (PDRM) boleh ambil tindakan tegas.

“Tapi sehingga ke saat ini, semua laporan polis yang saya buat tentang fitnah dan sebagainya belum ada tindakan. Kita masih menunggu,” kata beliau.

}