Sudah biasa dengan pelaksanaan PKP, namun beri impak kepada peniaga

Admin

PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP 3.0) mula berkuat kuasa tepat jam 12:01 minit malam semalam di Daerah Timur Laut (DTL), Seberang Perai Tengah (SPT), Seberang Perai Selatan (SPS), Mukim 12 Daerah Barat Daya (DBD) dan dua kawasan di Seberang Perai Utara (SPU).

 

 

 

Ekoran pelaksanaan PKP kali ketiga di negeri ini sejak Mac 2020 tersebut, skuad Buletin Mutiara pagi tadi mengadakan tinjauan di beberapa lokasi bagi melihat kepatuhan prosedur operasi standard (SOP) semasa serta mendekati warganegeri bagi mendengar luahan hati mereka.

 

 

 

Tinjauan di Pasar Awam Chowrasta mendapati keadaan sedikit lengang berbanding hari biasa dan keadaan tersebut turut diakui oleh penjaja-penjaja setempat.

 

 

Bagi Penyelia Pasar Chowrasta, Zainal Abidin Omar, amalan SOP di pasar berkenaan sudah menjadi kebiasaan dan tidak mendatangkan sebarang masalah.

 

 

 

 

 

 

 

“Sudah dua tahun kita hidup dalam normal baharu, jadi bagi saya soal SOP itu semua orang dah tahu, cuma nak ikut betul-betul atau tidak sahaja.

 

 

 

“Lagi pun kita dah banyak kali sudah laksanakan PKP, PKPB (Bersyarat) lagi, jadi orang ramai sudah biasa, tidak ada perubahan ketara untuk PKP kali ini.

 

 

 

“Cuma kalau kapasiti tinggi kita perlu kawal keadaan lebih sikit, macam semalam dianggarkan kira-kira 3,000 orang berkunjung ke sini, pihak Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) pun selalu pantau, termasuk pihak polis,” ujar beliau kepada Buletin Mutiara pagi ini.

 

 

Bagi Fazeeda Beebi, PKP ketiga ini disifatkan beliau sebagai biasa sahaja ekoran sudah lama terbiasa dengan situasi tersebut.

 

 

 

“Saya rasa biasa sahaja dengan PKP 3.0 ini, sudah ikut SOP sejak mula lagi, jadi kita jaga diri kita cukuplah, saya pun selalu tidak ke mana-mana sangat pun,” ujarnya ringkas.

 

 

 

Sementara itu bagi seorang peniaga di Pasar Chowrasta, Hamidah Mokhtar Hamid menyatakan bahawa premis perniagaan beliau mula menunjukkan kekurangan pelanggan hari ini.

 

 

Perkara sama turut diiakan oleh peniaga barangan runcit, Heng Beng Teik.

 

 

 

“Lazimnya, perniagaan semasa PKP boleh merosot lebih daripada separuh, boleh tengok sekarang pun sudah tiada pelanggan, kalau hari biasa boleh jual RM2,000 ke RM3,000, pelaksanaan PKP turun lagi teruk nak dapat RM1,000 pun susah,” maklum beliau yang sudah berniaga sejak tahun 1975.

 

 

Seperti yang dijangka, peniaga kuih, Ong Jeng Teik pula mengambil langkah selamat dengan mengurangkan jualan kuihnya di hari pertama pelaksanaan PKP hari ini.

 

 

 

Katanya, kebiasaan berlaku, perniagaan boleh merosot hingga 70 peratus apabila PKP dikenakan.

 

 

 

 

 

“Isu lain mengenai pematuhan SOP, pengunjung di sini semua bagus, patuh, walaupun keadaan semalam agak ramai,” katanya yang sudah 40 tahun berniaga di pasar ikonik tersebut.

 

 

 

Sementara itu, tinjauan aliran trafik di Mukim 12 di sini dekat jejambat Sultan Azlan Shah, Bayan Baru menuju ke Batu Uban mendapati berlaku kesesakan luar biasa ekoran kedua-dua hala jejambat tersebut kini ditutup sepenuhnya kepada lalu lintas berbanding penutupan satu hala ketika PKP 1.0 dan 2.0 lalu.

 

 

Manakala tinjauan di sebuah pasar raya di Pusat Bandar pula mendapati terdapat sebahagian peniaga menutup premis mereka hari ini.

 

 

 

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

 

Gambar : CHAN KOK KUAN