SUFF diharap bantu pelajar kurang berkemampuan sertai Pengakap – Exco

AIR ITAM – Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee mengumumkan pemberian sumbangan dana sebanyak RM5,000 bagi menjayakan program Scout Uniform For Free (SUFF) anjuran Persekutuan Pengakap Pulau Pinang baru-baru ini.

Lip Chee berkata, melalui SUFF, Pengakap Pulau Pinang akan mengumpulkan uniform dan aksesori terpakai badan tersebut untuk didermakan kepada golongan kurang berkemampuan yang meminati untuk menyertai aktiviti badan sukarela berkaitan.

Saya difahamkan uniform Pengakap untuk sekolah rendah yang lengkap sahaja bernilai RM100, jadi mungkin ada ibu bapa yang kurang mampu untuk membelinya tetapi anak mereka minat untuk sertai Pengakap.

“Dengan adanya SUFF dan sedikit sumbangan kewangan ini diharap dapat membantu pelajar-pelajar sekolah (kurang berkemampuan) untuk terlibat dalam aktiviti Pengakap,” ujar beliau ketika berucap pada Majlis Perasmian Dewan Coronation dan Penganugerahan Anugerah Khas Khidmat Mutiara Serta Pelancaran Scout Uniform For Free (SUFF) di Wisma Pengakap baru-baru ini.

Hadir sama Pesuruhjaya Pengakap Pulau Pinang, Zulkapli Kamaruddin dan Pesuruhjaya-pesuruhjaya Pengakap Daerah bagi lima daerah di Pulau Pinang.

Lip Chee turut berkongsi pengalaman beliau di bangku sekolah dan menganggap bahawa Pengakap sememangnya menjadi badan beruniform yang amat diminati dan popular dalam kalangan pelajar.

“Lazimnya pelajar yang melibatkan diri dalam pengakap ini mempunyai satu atau dua langkah kehadapan… berani,berdikari serta matang dalam menempuh cabaran.

Justeru dengan inisiatif SUFF, diharap mampu lahirkan lebih ramai belia yang berkebolehan di masa akan datang,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal.

Serentak majlis tersebut, Lip Chee turut merasmikan Dewan Coronation yang dibina pada bulan April dan siap sepenuhnya Oktober lalu dengan kos RM800,000.

Majlis turut diserikan dengan tayangan video tentang sejarah Wisma Pengakap Pulau Pinang yang menjadi negeri pertama menerima penubuhan Pengakap di Malaysia serta penyampaian beberapa anugerah.

Teks & Gambar: WATAWA NATAF ZULKIFLI