Sukan bola tampar terima sambutan paling hangat pada Karnival Olimpik Pulau Pinang – Exco

Admin

BATU UBAN – Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee berpandangan bahawa penganjuran Karnival Olimpik Pulau Pinang bagi sukan bola tampar mendapat sambutan yang amat memberangsangkan berbanding sukan lain.

Lip Chee berkata, di antara semua kejohanan yang dianjurkan, penyertaan untuk sukan bola tampar paling awal ditutup.

“Sepanjang kejohanan lima hari ini, kita menyaksikan seramai 18 pasukan lelaki bawah 18 tahun, 18 pasukan (perempuan bawah 18 tahun), 16 pasukan (kategori lelaki terbuka) dan tujuh (pasukan kategori terbuka wanita).

“Pada awalnya, pihak persatuan cuma mensasarkan 8 pasukan lelaki dan 8 pasukan wanita bagi setiap kategori bawah 18 tahun dan terbuka namun atas sambutan hangat, penganjur terpaksa membuka penyertaan lebih,” ujar beliau ketika berucap merasmikan Kejohanan Sukan Bola Tampar Karnival Olimpik Pulau Pinang 2019 dekat Kompleks Sukan Azman Hashim di Universiti Sains Malaysia (USM) pagi ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, A. Kumaresan; ADUN Batu Lancang, Ong Ah Teong, ADUN Air Itam, Joseph Ng Soon Siang dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), Frederick Tan Teck An.

Selain peserta daripada Pulau Pinang, penganjuran karnival berkaitan yang julung kalinya dianjurkan bakal menyaksikan seramai 564 peserta dari seluruh negara bakal berentap antaranya dari Terengganu, Kedah dan Perak.

Serentak itu, acara kemuncak karnival iaitu Family Fun Walk bakal diadakan pada 23 Jun ini bertempat di Padang Kota Lama.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI