Sukan ekstrem & e-sports tarikan baharu Seberang Perai Fiesta 2019

Admin

GEORGE TOWN – Acara sukan ekstrem dan e-sports menjadi tarikan terbaharu yang diperkenalkan pada penganjuran Seberang Perai Fiesta 2019 yang bakal bermula 25 hingga 29 September ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa selain mempromosikan produk berasaskan pertanian, penternakan dan perikanan, Seberang Perai Fiesta 2019 turut menampilkan kelainan.

“Seberang Perai Fiesta 2019 kali ini akan menampilkan kolaborasi antara Agrofest Penang dan Penang Food Festival yang pasti menjanjikan kepelbagaian aktiviti menarik kepada pengunjung.

“(Dan) kali ini juga, penyertaan sukan ekstrem dan e-sports akan diperkenalkan (memandangkan kedua-dua acara) sudah mendapat tempat di hari anak muda masa kini,” ujarnya pada sidang media di Komtar sebentar tadi.

KETUA Menteri bersama-sama barisan Exco Kerajaan Negeri dan penganjur menunjukkan poster promosi Seberang Perai Fiesta 2019 pada sidang media di sini tadi.

Hadir sama, Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin; Exco Pelancongan, Seni, Budaya dan Warisan Pulau Pinang, Yeoh Soon Hin; Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng serta wakil-wakil jabatan berkaitan dan penganjur.

Mengulas lanjut, Kon Yeow memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri sentiasa komited dan optimis membantu para usahawan dari pelbagai latar belakang industri untuk mengembangkan aktiviti perniagaan di negeri ini melalui pelbagai inisiatif.

“Kerajaan Negeri berharap dengan penganjuran Seberang Perai Fiesta 2019, seluruh lapisan masyarakat sama ada dari dalam mahupun luar Pulau Pinang dapat hadir beramai-ramai ke Tapak Ekspo Seberang Jaya sekaligus menyokong serta memberi pulangan ekonomi kepada para usahawan yang mengambil bahagian.

“Terdapat kira-kira 48 booth berasaskan perniagaan dan lebih 80 gerai dan 20 kendera saji (food truck) mengambil bahagian dalam penganjuran lima hari fiesta ini.

“Sasaran pengunjung pada tahun ini adalah 50,000 orang berbanding 38,246 pengunjung tahun lalu (2018).

“(Dan) majlis perasmian akan disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang pada 27 September 2019 bermula jam 8:00 malam,” jelasnya.

Dalam pada itu, Afif yang juga ADUN Seberang Jaya turut mengalu-alukan kehadiran orang ramai ke Seberang Perai Fiesta 2019 yang telah memasuki tahun keempat penganjurannya.

“Pada penganjuran kali ini, kita (penganjur) juga akan membawa selebriti seperti Dato’ Chef Wan bagi slot demonstrasi masakan serta mini konsert setiap malam untuk memeriahkan lagi fiesta ini,” katanya.

Seberang Perai Fiesta 2019 adalah anjuran Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan swasta antaranya Jabatan Pertanian Negeri, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Pulau Pinang, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Tekun Nasional dan SME Corp. Malaysia.

Orang ramai juga berpeluang menyertai pelbagai pertandingan yang dianjurkan serta mendapatkan anak benih pelbagai tanaman popular seperti ‘Musang King’ dan ‘Mangga Chokan’ termasuk pameran ikan hiasan, ikan tuna dan penyu.

Ayuh, meriahkan Seberang Perai Fiesta 2019 pada 25 hingga 29 September 2019 di Tapak Ekspo Seberang Jaya bermula jam 10 pagi sehingga 10 malam!

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI