Sukan Untuk Semua : Kejohanan Bola Keranjang Muda 2019 dapat sambutan luar biasa

SUNGAI PINANG – Penganjuran ‘Sukan Untuk Semua : Kejohanan Bola Keranjang Muda 2019’ yang berlangsung pada 26 Januari hingga 21 April ini menerima sambutan luar biasa berikutan menerima penyertaan daripada 52 pasukan keseluruhannya.

Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee berharap penganjuran berkenaan yang mula diperkenalkan tahun ini akan memberikan lebih banyak peluang penyertaan kepada lebih ramai golongan belia.

“Melalui penganjuran aktiviti komuniti seperti ini, golongan muda mempunyai satu platform yang sesuai untuk tunjukkan bakat mereka melalui acara sukan.

“Salah satu misi Kerajaan Negeri adalah untuk menerapkan gaya hidup sihat yang berteraskan sukan dalam kalangan penduduk di Pulau Pinang, tidak semestinya sukan bola keranjang sahaja, tetapi masyarakat boleh mengamalkan sukan yang sesuai dengan diri mereka sendiri,” ujarnya pada Majlis Perasmian Sukan Untuk Semua : Kejohanan Bola Keranjang Muda 2019 bertempat di Gelanggang Bola Keranjang, Taman Kejiranan Karpal Singh di sini semalam.

Hadir sama Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri bagi Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid, Gooi Zi Sen (Pengkalan Kota), Joseph Ng Soon Siang (Air Itam) dan Ong Ah Teong (Batu Lanchang).

52 pasukan terbabit dibahagian kepada beberapa kategori kumpulan iaitu kategori lelaki berumur 13 hingga 18 tahun sebanyak 20 pasukan, kategori lelaki berumur 19 hingga 25 tahun (21 pasukan) dan kategori wanita (11 pasukan).

Menurut Lip Chee yang juga merupakan ADUN Bagan Jermal, trend dalam sukan bola keranjang di negara ini, kebanyakannya pemainnya adalah dalam kalangan bangsa Cina.

Katanya, jarang-jarang bangsa lain menceburi bidang sukan ini dan mengikut hematnya punca utama ketandusan pemain pelbagai bangsa adalah disebabkan kurang pendedahan terhadap sukan berkenaan di peringkat sekolah.

“Semua pelajar dan rakyat di negara ini tanpa mengira kaum dan budaya perlu melibatkan diri dalam pelbagai jenis sukan kerana ia mampu memelihara kesihatan dan meningkatkan kecergasan, sukan adalah bebas dan milik semua orang kerana sukan tidak mengenali batas perkauman.

“Saya harap jangan kita jadikan sukan sebagai sempadan perkauman sebaliknya semua orang tanpa mengira kaum boleh bermain bola keranjang,” ujarnya.