SHAH ALAM, SELANGOR – Skuad judo Pulau Pinang terus mengukuhkan dominasi di pentas Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 apabila dinobatkan sebagai juara keseluruhan acara berkenaan selepas mengumpul tiga pingat emas, satu perak dan lima gangsa.
Kejayaan cemerlang itu sekali gus mengekalkan rekod keunggulan Pulau Pinang yang pernah muncul sebagai juara keseluruhan acara judo pada edisi 2018, 2022 dan 2024.

Ketua Jurulatih Judo Negeri, Md. Nashriq Md. Nasir, menzahirkan kesyukuran atas prestasi luar biasa para atlet yang bukan sahaja memenuhi sasaran awal, malah melepasi jangkaan kontinjen.
“Sebenarnya, skuad judo negeri menyasarkan tiga pingat emas dan dua pingat gangsa, tetapi kita berjaya melepasi sasaran dengan meraih tambahan satu pingat perak dan tiga pingat gangsa.
“Alhamdulillah, kejayaan menjadi juara keseluruhan acara judo sempena SUKMA Selangor 2026 ini merupakan kali keempat berturut-turut dicapai oleh skuad negeri,” katanya ketika ditemui Buletin Mutiara di Sekretariat Kontinjen Negeri Pulau Pinang di sini hari ini.
Kancah persaingan judo kali ini menyaksikan kejutan pembuka tirai pada 15 Ogos lalu menerusi atlet bukan prospek, Qaleeda Izz’dika Mohd. Rosidi, 16, yang menyumbang pingat emas sulung Kontinjen Pulau Pinang dalam kategori bawah 52 kilogram (kg) wanita.
Momentum cemerlang itu diteruskan semalam apabila Ivan Ong Jun Hee (90kg lelaki) dan Khor Wei Ning (63kg wanita) masing-masing menampilkan aksi bertenaga untuk menyumbang dua lagi pingat emas, sekali gus mengesahkan kedudukan Pulau Pinang di takhta teratas acara berkenaan.
Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB