SEPANG, SELANGOR — Skuad silat wanita Pulau Pinang memulakan langkah kanan dalam Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 apabila ketiga-tiga wakilnya mencatat kemenangan pada saingan peringkat awal yang berlangsung di Dewan Seri Sarjana, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), di sini petang semalam.
Sorotan perlawanan menyaksikan dominasi Nur Damia Qistina Khairul Amilin dalam kategori Puteri Bawah 45 kilogram (kg) selepas menguasai gelanggang untuk menewaskan pesilat Wilayah Persekutuan, Nurin Alyaa’ Damia Mohd. Masran dengan keputusan meyakinkan 46-26.

Pertempuran sengit turut mewarnai saingan kategori Puteri A (45-50kg) apabila Siti Nor Hidayah Johari mempamerkan ketahanan mental tinggi untuk mengutip 12 mata, sekali gus mengesahkan kemenangan dramatik dengan kelebihan satu mata ke atas pencabar dari Kedah, Sofea Umairah Khairudin yang mengutip 11 mata.

Kemenangan mutlak Pulau Pinang dilengkapkan Nurul Nabila Natasya Wahab dalam kategori Puteri B (50-55kg).
Persembahan bertenaga beliau membolehkannya mendahului dengan 47 mata berbalas 16 ke atas atlet Pahang, Nur Jannah Mawaddah Zulkarnain, sebelum perlawanan ditamatkan melalui keputusan Wasit Memberhentikan Pertandingan (WMP).

Ketua Jurulatih Skuad Silat Pulau Pinang, Shuhairi Chin, meluahkan rasa syukur atas keputusan positif itu dan berharap momentum kejayaan awal tersebut dapat diteruskan sehingga ke peringkat separuh akhir.
Menurut beliau, kelebihan undian ‘bye’ yang diperoleh majoriti pesilat turut membuka laluan strategik untuk skuad negeri menilai potensi sebenar dalam merealisasikan sasaran pingat emas pada temasya kali ini.
“Kalau ketiga-tiga atlet puteri negeri berjaya memenangi saingan peringkat awal, kita berharap mereka boleh beraksi sekurang-kurangnya hingga ke peringkat separuh akhir.
“Kebanyakan daripada 11 atlet negeri kita sudah ke suku akhir kerana mendapat ‘bye’, iaitu laluan terus ke pusingan seterusnya tanpa perlu bertanding pada pusingan awal.
“Maksudnya, melalui kemaraan ke peringkat suku akhir nanti, barulah kita boleh melihat perkembangan dan menilai sama ada kita berpotensi membawa pulang dua emas seperti yang disasarkan atau tidak,” katanya ketika ditemui kemudian, menjelang 5 petang semalam.
Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI