SHAH ALAM, SELANGOR — Skuad taekwondo Pulau Pinang tetap optimis untuk memburu kejayaan pada hari terakhir saingan esok, sempena Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2025 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), di sini, meskipun terlepas dua sasaran pingat emas pada petang tadi.
Nasib kurang menyebelahi kem negeri apabila atlet prospek emas, Vaneesa Laveenia Axton, terpaksa melupakan saingan selepas menarik diri akibat kecederaan.
Kekecewaan itu berlanjutan apabila seorang lagi prospek emas, Ikhwan Irfan Rushisham, sekadar menyumbang pingat gangsa dalam kategori lelaki bawah 87 kilogram (kg) selepas tumpas kepada atlet Wilayah Persekutuan, Ng Kar Weng, pada peringkat separuh akhir.
Dua lagi pingat gangsa Pulau Pinang diraih menerusi Dayenna Kadrysya dalam kategori wanita bawah 53kg selepas tewas kepada atlet Negeri Sembilan, Sukalingam Norismar, serta S. Jivaan (lelaki bawah 63kg) yang akur dengan kekalahan tipis di tangan wakil Wilayah Persekutuan, Thiban Raj.

Ketua Jurulatih, M. Gunasegaran, menganggap pencapaian tiga pingat gangsa itu tetap membanggakan memandangkan barisan atlet yang dihantar ke kejohanan dwitahunan peringkat kebangsaan kali ini masih muda dan menunjukkan potensi besar.
“Walaupun kita (skuad taekwondo negeri) gagal (menyumbang sebarang pingat emas melalui dua atlet prospek kita), prestasi kita boleh dibanggakan sebab barisan atlet masih muda.
“Dengan rekod kejayaan setakat petang tadi, diharap kejayaan itu akan dibawa ke hari esok untuk atlet-atlet lain mencuba dan mencapai kejayaan serta memenangi sebarang pingat,” jelasnya kepada Buletin Mutiara.
Sehubungan itu, beliau berharap kebangkitan dapat ditunjukkan oleh baki atlet yang bakal turun bertanding esok demi menyumbang pingat tambahan buat kontingen Pulau Pinang.
Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI