SHAH ALAM, SELANGOR – Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 bagi acara Bola Tampar Pantai yang berlangsung di gelanggang berhampiran Dewan Teratai Seksyen 19, Shah Alam hari ini menyaksikan saingan sengit enam kumpulan masing-masing bagi kategori lelaki dan wanita.
Dalam saingan peringkat pertama, masing-masing memburu mata dan kedudukan sebagai juara kumpulan untuk melayakkan diri ke peringkat kedua sebelum merampas podium kejuaraan.
Dalam aksi awal pagi tadi, gandingan mantap atlet Pulau Pinang, Noor Aishah Iskandar, 21, dan Nur Auni Maisarah Shamsulrizal, 19, yang berada dalam Kumpulan A berjaya menewaskan Sabah menerusi dua set perlawanan berturut-turut, 21-1 dan 21-7.

Begitu juga dalam saingan peringkat pertama Kumpulan C, Nur Azwa Qariesya Mohammad Noor Aizuddin, 17, dan Nur Adrieana Safieya Azhar, 18, yang mewakili Pulau Pinang B berjaya menumpulkan asakan Wilayah Persekutuan dalam dua set perlawanan berturut-turut dengan catatan mata 21-17 dan 21-7.
Buletin Mutiara difahamkan, Nur Azwa Qariesya merupakan pemain keempat terbaik Asia yang layak secara merit ke Olimpik Ramaja di Dakar, Sinegal pada 31 Oktober hingga 13 November 2026.
Namun, beliau mengambil keputusan untuk tidak terbang bagi memburu ranking serantau, kerana memilih untuk mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) nanti.


Dengan rekod pencapaian Nur Azwa Qariesya yang begitu hebat di persada antarabangsa dan kebangsaan sebelum ini, padanlah menggamit kehadiran Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), Harry Chai Heng Hua yang duduk dan menonton dari khemah tetamu kenamaan utama di sini sebentar tadi.
Namun, tuah kemenangan yang diraih dalam dua perlawanan itu tidak berjaya disambung oleh dua regu atlet lelaki negeri Pulau Pinang.
Saingan peringkat pertama bagi Kumpulan C Lelaki menyaksikan Pulau Pinang A terpaksa akur dengan kelincahan Perak B yang memenangi kedua-dua set perlawanan secara berturut-turut, 18-21 dan 16-21.
Saingan peringkat pertama bagi Kumpulan D Lelaki turut menyaksikan Pulau Pinang B tewas di tangan tuan rumah iaitu Selangor B, 13-21 dan 14-21.

Pengurus Pasukan Bola Tampar Pantai Negeri, Mohammad Noor Aizuddin Omar yang ditemui kemudian berkata, paling penting dalam saingan selama lima hari bermula pagi tadi adalah menjadi juara kumpulan serta mengumpul sebanyak mungkin mata dalam setiap set perlawanan.
“Perlawanan kumpulan ini, bagi kita sangat penting kerana untuk melayakkan diri dalam perlawanan peringkat kedua – melalui cabutan undi sama ada berada dalam kumpulan X atau Y – mesti terlebih dahulu menjadi juara kumpulan masing-masing dalam saingan peringkat pertama.
“Jadi, paling penting sekarang adalah Pulau Pinang mesti terlebih dahulu menjuarai kumpulan masing-masing dalam saingan peringkat pertama ini, untuk melayakkan ke peringkat kedua dan memburu pingat emas seperti temasya sukan dwitahunan lepas,” jelasnya yang juga Ketua Jurulatih Skuad Bola Tampar Pantai Lelaki Negara Ke Sukan SEA di Thailand pada 10 hingga 20 Disember 2025.

Dalam temasya sukan dwitahunan yang berlangsung di Sarawak pada tahun 2024, gandingan Farwizah Aina Ahmad Nizar dan Nur Auni Maisarah Shamsulrizal telah menyumbang satu pingat emas kepada Pulau Pinang.
Semasa itu, Pasukan Bola Tampar Pantai Negeri turut menyumbang satu pingat gangsa melalui Noor Aishah Iskandar dan Nur Adrieana Safieya Azhar.
Ditanya lanjut, Mohammad Noor Aizuddin berkata pasukan di bawah bimbingannya berharap dapat kekal membawa pulang satu pingat emas sahaja, bagi melengkapkan 60 pingat emas sebagaimana disasarkan MSNPP dalam SUKMA XXII Selangor 2026.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI & MIKAEL ONG (MSNPP)