Sumbang lebih 1,400 buku, ADUN harap bantu pelajar SPM lulus subjek wajib Sejarah

BAGAN DALAM – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, M. Satees hari ini menyumbangkan sebanyak 428 buah buku Set Ramalan Klon Sejarah Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019 kepada Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chung Ling Butterworth.

Menurut Satees, inisiatif tersebut bukan sahaja dapat membantu para pelajar yang akan menduduki SPM di SMJK Chung Ling, malah sebanyak 1400 buku Sejarah yang sama bakal diedarkan di enam sekolah berasingan dekat Bagan.

“Saya amat bimbang ekoran terdapat sekolah khususnya di Mak Mandin dan juga Kampung Kastam mempunyai pelajar yang gagal mata pelajaran Sejarah… apabila mereka gagal subjek wajib lulus tersebut, mereka tidak boleh mendapat sijil SPM.

“Bukan semua ibu bapa di kawasan Bagan mampu menghantar anak-anak mereka ke pusat tuisyen, dan para pelajar bakal menghadapi masalah dan gagal.

“Baru-baru ini juga saya mengambil peluang untuk berjumpa Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan mengadakan perbincangan kerana terdapat beberapa buah sekolah yang kekurangan tenaga pengajar mata pelajaran berkaitan (sejarah).

Buku Set Ramalan Klon Sejarah Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019

“Saya sangat berharap pemberian buku ini dapat memberi manfaat kepada para pelajar di sini yang akan menduduki peperiksaan tidak lama lagi dan mungkin anda (pelajar) dapat menjadi seorang arkeologi suatu hari nanti,” ucapnya semasa hadir dalam majlis pemberian buku-buku tersebut di sekolah berkaitan pagi tadi.

Hadir sama, Tang Keng Hwa, Pengetua SMJK Chung Ling.

Mengulas lanjut mengenai pendekatan usaha itu, Satees memaklumkan bahawa pemberian buku tersebut pada tahun 2018 dekat salah sebuah sekolah di Bagan ternyata memberikan maklum balas yang baik.

“Kebanyakan soalan ramalan dalam pemberian buku Sejarah tahun lepas, keluar dalam peperiksaan sebenar SPM…Pelajar yang sebelum ini gagal mata pelajaran sejarah telah lulus dengan baik semasa peperiksaan SPM lalu.

“Oleh demikian, tahun ini saya akan bekalkan lagi buku tersebut kepada semua sekolah di kawasan ini,” ujarnya.

Oleh: SITI HUMAIRA MOHAMED YASIN 
Gambar: YO YIN YIN