Sumbangan ADUN ringankan beban pesakit Talasemia Major

PAYA TERUBONG – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong, Yeoh Soon Hin menyampaikan sumbangan berupakan peralatan perubatan ‘syringe driver’ bernilai RM2,900 bagi meringankan bebanan seorang pesakit Talasemia Major, Nur Hazwani Zainal Abidin, 26.

Sumbangan disampaikan Soon Hin sendiri semasa melawat ke kediaman Nur Hazwani dekat Taman Lone Pine, di sini, semalam.

Peralatan yang digunakan Nur Shazwani untuk menstabil dan mengeluarkan lebihan zat besi di dalam badan.

“Alatan perubatan ini sangat diperlukan oleh Nur Hazwani untuk menstabil dan mengeluarkan lebihan zat besi di dalam badan.

“Pada masa ini, ‘syringe driver’ yang digunakan sebelum ini adalah dipinjam daripada pihak hospital tetapi telah diminta (oleh pihak hospital) untuk membeli sendiri peralatan ini.

“Disebabkan tidak mampu, justeru saya hulurkan bantuan perubatan ini bagi memudahkan beliau menjalankan proses perubatan setiap hari.

“Saya juga akan merujuk kes adik Nur Hazwani kepada badan-badan kebajikan berkaitan seperti Jabatan Kebajikan Masyarat, Zakat Pulau Pinang, Pejabat Exco dan sebagainya untuk membantu mendapatkan bantuan kewangan bagi tujuan perubatan,” katanya yang juga Exco Pembangunan Pelancongan, Warisan, Kebudayaan dan Kesenian ketika ditemui wartawan Buletin Mutiara.

Sementara itu, Nur Hazwani memberitahu bahawa beliau mula dikesan menghidap Talasemia seawal usia tiga bulan menyebabkan beliau membesar dalam keadaan serba terbatas berbanding insan-insan lain.

Penyakit tersebut katanya, menyebabkan beliau mudah penat selain terpaksa menjalani proses perubatan yang mengambil masa kira-kira 14 hingga 17 jam dengan kekerapan lima kali seminggu.

“Sebelum ini saya pernah bekerja sebagai pembantu jualan, tetapi terpaksa berhenti kerana kerap jatuh sakit.

“Diharapkan dengan adanya ‘syringe driver’ sendiri, saya tidak perlu lagi berulang-alik ke hospital setiap minggu untuk mendapatkan rawatan.

“Terima kasih tak terhingga diucapkan kepada YB (Yeoh Soon Hin) kerana bermurah hati menyumbangkan peralatan perubatan ini,” ujarnya sambil memberitahu bahawa kos perbelanjaan minimum RM90 sebulan diperlukan untuk rawatan berkaitan.

Talasemia merupakan sejenis penyakit kecacatan darah yang diwarisi, iaitu diwariskan daripada ibu atau bapa kepada anak.

Kecacatan genetik menyebabkan hemoglobin dalam sel darah merah menjadi tidak normal menyebabkan pesakit Talasemia tidak dapat menghasilkan hemoglobin yang mencukupi dalam darah mereka.

Hal ini menyebabkan pesakit kelihatan pucat, berasa lesu, tidak bermaya, dan mungkin sesak nafas sekiranya paras hemoglobin semakin menurun.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ADUN