Sumbangan Aidilfitri kepada PDRM dan ATM

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang meneruskan tradisi sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang komited menjaga keamanan negeri ini.

 

Sumbangan masing-masing bernilai RM10,000 tersebut disampaikan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow kepada Ketua Polis Kontinjen Pulau Pinang, Dato’ Sahabudin Abdul Manan dan Panglima Briged Keenam Infantri, Brigedier Jeneral Khairul Anuar Abdul Aziz.

 

“Terima kasih diucapkan kepada Dato’ Sahabudin dan Brigedier Jeneral Khairul Anuar kerana sudi hadir menerima sumbangan ini,” ujarnya sejurus menyerahkan sumbangan berkaitan di Komtar baru-baru ini.

 

Mengulas mengenai sumbangan tersebut, Khairul Anuar berkata bahawa ia sedikit-sebanyak memberi motivasi kepada para anggota ATM.

 

“Pertama sekali saya merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Negeri, selain motivasi, diharap ia mampu ringankan sedikit beban pasukan terutamanya yang terlibat dalam Ops Penawar,” maklumnya kepada Buletin Mutiara.

 

Sahabudin dalam pada itu menyifatkan bahawa beliau bertuah berada di Pulau Pinang yang mana Kerajaan Negeri sentiasa bersedia membantu dan bersama pasukan PDRM dalam apa jua keadaan terutamanya dalam menghadapi pandemik COVID-19 kini.


“Malah, berhubung sumbangan Aidilfitri ini, saya tahu ini bukan pertama kali sumbangan berkaitan diberikan dan memang rasa bertuah berada di Pulau Pinang di bawah kepimpinan Y.A.B. Chow (Kon Yeow),” ulasnya.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD DAUD