Sumbangan ambulans berkelengkapan penuh bantu selamatkan nyawa – Exco

Admin

TANJUNG BUNGAH – Sumbangan sebuah ambulans berkelengkapan penuh bagi kegunaan penduduk di kawasan Tanjung Bungah dan Batu Ferringhi sememangnya dapat membantu menyelamatkan nyawa, kata Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir, Zairil Khir Johari.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Ambulans Kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dekat Hotel Hard Rock semalam.

“Ini merupakan sesuatu yang kita sudah lama tunggu, sebab kebiasaannya ketibaan ambulans ke kawasan Batu Feringghi, Teluk Bahang memerlukan masa kira-kira 45 minit bergantung kepada keadaan trafik.

“Jadi dengan penempatan sebuah ambulans di kawasan ini, maka ada nyawa yang boleh diselamatkan sekiranya berlaku sebarang kecemasan melibatkan penduduk setempat ataupun pelancong,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Bungah.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) APM, Norhafifi Ismail; Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Pulau Pinang, Khoo Boo Lim; Penolong Pengarah Eksekutif Hotel Hard Rock, Michael Smeeton dan Penaung Kelab Motosikal HTC, Lau Nian Choon.

Difahamkan, ambulans bernilai RM185,000 adalah hasil sumbangan beberapa pihak termasuk Hotel Hard Rock, RM70,000; Kelab Motosikal HTC (RM60,000) dan MAH Penang Chapter (RM10,000).

Selain itu, Shangri-La Rasa Sayang & Spa, Golden Sands Resort, Hotel Bayview Beach, Hotel Angsana juga memberikan sumbangan masing-masing bernilai RM10,000 dan RM5,000 oleh Holiday Inn Resort.

Mengula lanjut, Zairil turut memuji projek komuniti yang diadakan dengan kerjasama pelbagai pihak dalam membantu menyelamatkan nyawa orang awam itu.

“Ini merupakan projek komuniti yang wajar dipuji kerana langsung tidak melibatkan dana daripada kerajaan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Norhafifi memberitahu bahawa sumbangan ambulans tersebut secara langsung dapat meningkatkan keupayaan menyelamat APM.

“Ini merupakan satu anugerah kepada kami (APM) dan ia akan meningkatkan keupayaan kami untuk membantu menyelamatkan nyawa.

“Justeru, kami boleh memberi perkhidmatan yang lebih baik di kawasan ini sekiranya berlaku sebarang kes kecemasan,” jelasnya ketika ditemui.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD