Sumbangan harap bakar semangat artis veteran

PERAI – Artis veteran, A.Ganesan yang baru dipotong kaki demi mencegah penyakit diabetes daripada merebak mendapat perhatian kepimpinan Kerajaan Negeri di sini baru-baru ini.

Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy berkata, beliau berharap sumbangan motosikal roda tiga khas orang kurang upaya (OKU) dapat membakar semangat Ganesan untuk terus berkarya dalam dunia kesenian.

“Pemberian (motosikal OKU) ini adalah satu penghormatan atas jasanya dalam dunia seni ini.

“Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Tetapi, saya berharap (sumbangan) ini dapat membakar semangatnya untuk terus berkarya,” ujarnya pada majlis sumbangan ringkas di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, Ramasamy turut merakamkan penghargaan kepada dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Thiruvalluvar Pulau Pinang dan Persatuan Muthamil Pulau Pinang kerana menganjurkan program sumbangan tersebut.

A.Ganesan merupakan artis serba boleh, dikenali dalam bidang lakonan, nyanyian hatta mengaturcara majlis di negeri ini.

Beliau berkecimpung dalam dunia kesenian kira-kira 30 tahun.