Sumbangan komputer riba untuk E-Pembelajaran murid sekolah diperlukan

Admin

GEORGE TOWN – Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sejak 18 Mac lalu demi memutuskan semua rantaian penularan wabak COVID-19 sememangnya turut membataskan proses pembelajaran, hatta mendorong para pelajar sekolah untuk menyesuaikan diri dengan proses pembelajaran secara maya.

Justeru, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa Kerajaan Negeri menerusi badan bertindak Program Komputer E-Pembelajaran berharap supaya lebih ramai pihak tampil memberikan sumbangan komputer yang begitu diperlukan oleh pelajar terutama mereka daripada keluarga berpendapatan 40 peratus paling rendah (B40) di negeri ini.

Serentak itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi Bon Siew Honda Sdn. Bhd., Dato’ Sri Datuk Wira Tan Hui Jing kerana pada hari ini menyerahkan sumbangan 90 komputer riba dan 10 komputer meja kepada Kerajaan Negeri.

“Saya percaya (proses pembelajaran secara maya) ini berlaku di kebanyakan sekolah, misalnya sekolah di Kedah ada yang ditutup (ekoran laporan kes-kes aktif terbaru di Kedah), maka pembelajaran melalui dalam talian menjadi suatu normal (baharu).

“Berlandaskan keperluan ini, saya berharap lebih banyak sektor korporat dan orang perseorangan tampil untuk terus memberi sokongan kepada Program (E-Pembelajaran) dengan menderma komputer baharu atau membaiki komputer terpakai bagi memenuhi keperluan pelajar di sekolah-sekolah tertentu,” jelasnya dalam sidang media dekat Komtar di sini pada 19 Ogos 2020.

Hadir sama, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam, Chong Eng; Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Abdul Razak Jaafar.

Difahamkan, Kerajaan Negeri sejak Mei lepas menganjurkan Program Komputer E-Pembelajaran Pulau Pinang memandangkan para pelajar sekolah perlu meneruskan proses pembelajaran secara maya dari rumah masing-masing.

Mengikut rekod, Kon Yeow menyatakan bahawa sehingga kini, sebanyak 456 unit komputer telah berjaya dikumpulkan dan dalam proses diedarkan kepada pelajar terpilih dalam kalangan keluarga B40.

“Sebanyak 456 unit komputer telah berjaya dikumpulkan dan daripada jumlah itu, sebanyak 233 unit telahpun dibaiki, 135 sedang diperiksa serta dibaiki, manakala baki 88 unit lagi telah dilupuskan kerana tidak dapat dibaiki,” ulasnya yang juga Exco Hel Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi.

Pada majlis berasingan selepas itu, Kon Yeow turut menerima sumbangan 12,000 helai pelitup muka daripada Presiden Persatuan Pengusahaan-Pengusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA), Koay Chiew Guan.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALISSALA THIAN
Video : LAW SUUN TING