GEORGE TOWN – Sebanyak 70 unit pendingin hawa dan 1,000 buah buku latihan pemerkasaan Bahasa Melayu disumbangkan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di seluruh Pulau Pinang yang mencerminkan komitmen berterusan dalam meningkatkan pembangunan pendidikan.
Sumbangan pendingin hawa tersebut disalurkan oleh Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MICCI) Pulau Pinang melibatkan kesemua 28 SJKT di negeri ini, dengan sekurang-kurangnya dua unit diagihkan kepada setiap sekolah.
Sumbangan disampaikan oleh Exco Kebajikan dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo dalam majlis yang berlangsung dekat Komtar di sini sebentar tadi.





Semasa berucap, Sundarajoo memberitahu bahawa inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu melibatkan perbelanjaan sekitar RM100,000 hasil sumbangan 10 ahli perniagaan MICCI Penang, sekali gus membantu menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih selesa kepada murid.
Selain itu, beliau berkata Jawatankuasa Khas Sekolah-Sekolah Tamil Pulau Pinang turut menyampaikan 1,000 buku latihan pemerkasaan Bahasa Melayu kepada 853 murid Tahun Enam di kesemua 28 SJKT terbabit.
Menurutnya, buku latihan tersebut adalah terbitan Penerbit Universiti Putra Malaysia (UPM) ini ditulis oleh pakar Bahasa Melayu terkemuka, Profesor Dr. Vijayaletchumy Subramaniam bersama pasukannya, sebagai usaha meningkatkan penguasaan bahasa kebangsaan dalam kalangan murid.
“Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui Jawatankuasa Khas Sekolah-Sekolah Tamil memperuntukkan sebanyak RM50,000 bagi tahun 2026 untuk program pemerkasaan Bahasa Melayu, termasuk RM30,000 khusus bagi pembelian buku latihan tersebut.
“Malah, Kerajaan Negeri turut menyediakan peruntukan sebanyak RM2.1 juta pada tahun 2026 bagi pelaksanaan pelbagai projek pembangunan infrastruktur serta pembelian keperluan sekolah-sekolah Tamil di negeri ini,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai.
Hadir sama, ADUN Bagan Dalam, K. Kumaran; Senator, Dr. R.A. Lingeshwaran; Pengarah Jabatan Pendidikam Negeri (JPN) Pulau Pinang, Huzaimi Ghazali; Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), C. Linggeswaran dan A. Ponnudurai; Presiden MICCI Pulau Pinang, Dato’ S. Parthiban; Ketua Majlis Guru Besar SJKT yang juga Guru Besar SJKT Palaniandy, Selvakumar serta wakil-wakil pertubuhan berkaitan.
Justeru, Sundarajoo merakamkan penghargaan kepada MICCI Penang atas komitmen menyokong pembangunan pendidikan, khususnya dalam meningkatkan kemudahan pembelajaran demi keselesaan murid.
Beliau turut mengalu-alukan lebih banyak inisiatif seumpama itu daripada pihak korporat dan badan usahawan lain bagi memperkukuh lagi ekosistem pendidikan di Pulau Pinang.
“Kedua-dua sumbangan ini mempunyai matlamat sama iaitu memastikan akses kepada pendidikan yang berkualiti, selesa dan selamat untuk semua murid SJKT di negeri ini.
“Setiap kemudahan dan ilmu yang disalurkan adalah langkah penting dalam membentuk generasi yang lebih yakin, berilmu dan berdaya saing,” katanya.
Oleh: SUNARTI YUSOFF
Gambar: SITI NURATIKAH RAHMAT