Sumbangan peranti pintar dan data percuma demi licin proses pembelajaran tempoh pandemik

Admin

PADANG LALANG – Seramai 500 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) dalam kawasan Parlimen Permatang Pauh hari ini menerima sumbangan set peranti pintar dan data internet secara percuma.

Sumbangan tersebut adalah hasil usahasama antara Pejabat Ahli Parlimen Permatang Pauh dan YTL Corporation Sdn. Bhd. bagi membantu melicinkan proses Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) dalam tempoh penularan pandemik COVID-19.

Menurut Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow, keprihatinan Ahli Parlimen Permatang Pauh dan pihak YTL Corporation yang diterjemahkan melalui inisiatif serta kolaborasi tersebut mampu memberi kelegaan kepada para pelajar dalam mendepani cabaran arus pendidikan pada masa kini.

Ketua Menteri menyerahkan peranti pintar dan data percuma kepada salah seorang pelajar yang layak.

“Syabas dan tahniah diucapkan kepada Ahli Parlimen Permatang Pauh, YB Nurul Izzah Anwar dan YTL atas keprihatinan terhadap cabaran serta isu-isu pendidikan dan diharapkan usaha ini mampu membuahkan hasil.

“Ini kerana sepertimana yang kita sedia maklum, landskap pendidikan merupakan antara sektor terjejas teruk sepanjang tempoh pandemik COVID-19.

“Suasana normal baharu yang perlu diadaptasi oleh para guru serta pelajar dalam meneruskan proses pengajaran dan pembelajaran secara atas talian sememangnya cukup mencabar.

“Justeru, keperluan mendesak ini telah membawa Pulau Pinang menjadi antara negeri terawal menubuhkan ‘Task Force Program E-pembelajaran’ bagi membangunkan sektor pendidikan dalam normal baharu,” katanya ketika merasmikan program penyerahan Peranti Pintar dan Data Percuma Learn From Home dekat Dewan Ng Yam Huat, Sungai Rambai di sini sebentar.

Turut hadir, Exco Agroteknologi Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, Dr. Norlela Ariffin; Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar serta Pengarah Eksekutif YTL Corporation Berhad, Syed Abdullah Syed Abd Kadir.

Salah seorang pelajar menunjukkan peranti pintar yang diterimanya.

Tambah Kon Yeow, sejak program tersebut dilancarkan pada Mei tahun lepas, sebanyak 1,742 unit komputer telah diagihkan kepada pelajar selain 279 telefon pintar bagi memastikan proses pembelajaran di rumah diadakan secara lancar dan teratur.

“Kerajaan Negeri amat bertuah kerana Pulau Pinang sentiasa mendapat sokongan cukup tinggi daripada rakan-rakan industri, termasuk Yayasan YTL yang sentiasa komited dalam memastikan persekitaran kondusif dapat disediakan untuk para pelajar,” ulasnya.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri juga telah merangka Pelan Kesalinghubungan Negeri Pulau Pinang (PCMP) selaras dengan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) bagi meluaskan lagi capaian telekomunikasi di negeri ini.

“Selain itu, inisiatif ini juga adalah untuk meluaskan capaian internet serta ketersediaan jalur lebar bertaraf 5G yang diusahakan dengan kerjasama semua syarikat penyedia perkhidmatan komunikasi di negara ini.

“Saya percaya dengan perancangan berstruktur dan tersusun antara semua pihak, kita mampu menjayakan program PdPR dalam apa jua cabaran,” jelasnya.

Ketua Menteri semasa berucap pada program Penyerahan  Peranti Pintar Dan Data Percuma sebentar tadi.

 

Nurul Izzah yang turut berucap sebelum itu berkata bahawa penularan pandemik COVID-19 telah memangsakan sistem pendidikan dan pelajar-pelajar di sekolah.

“Oleh itu, kita mengalu-alukan lebih banyak syarikat serta pihak yang mampu menyumbang kepada usaha meningkatkan capaian jaringan komunikasi di negeri ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Syed Abdullah menjelaskan bahawa Yayasan TLY telah melancarkan program Belajar Dari Rumah yang menawarkan pemberian kad sim percuma dengan data 40gb selama 60 hari kepada pelajar awam di seluruh negara.

“Walau bagaimanapun, kami dapati bahawa data sahaja tidak memadai kerana sebahagian besar pelajar daripada keluarga B40 tidak mempunyai telefon pintar untuk digunakan.

“Justeru, dengan kerjasama YES (anak syarikat Yayasan YTL), kami membuka peluang kepada mereka yang kurang bernasib baik untuk memiliki telefon pintar dengan data percuma selama 12 bulan.

“Selain itu, program Belajar Dari Rumah yang bersifat holistik ini juga menyediakan platform pembelajaran secara percuma menerusi aplikasi ‘Frogplay’ yang mengandungi bahan pembelajaran mengikut sukatan pelajaran Kementerian Pendidikan Malaysia daripada tahap satu hingga tingkatan 5,” ujarnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video : CHAN KOK KUAN