Sumbangan RM240,000 tanda penghargaan 240 tahun sambutan Thaipusam di Pulau Pinang – Ketua Menteri

Admin
0144d2af 3287 4dfb 8f27 78bf03b67b3e KETUA Menteri (dua dari kiri) dengan diiringi R.S.N. Rayer (kiri sekali) dan Timbalan Pengerusi PHEB, Senator Dr A. Lingeshwaran (kanan sekali) menyampaikan cek sumbangan RM240,000 kepada Pengerusi Kuil Sri Arulmigu Balathandayuthapani, Kumarathiraviam Kasinathan di sini pada 1 Februari 2026.

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow mengumumkan sumbangan sejumlah RM240,000 kepada Kuil Thanneermalai Shree Balathandayuthapani sempena kejayaan penganjuran perayaan Thaipusam di negeri ini sejak 240 tahun dahulu.

816dcfe0 df47 47fa b44d 4e30fc09392a
KETUA Menteri

Beliau yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi mengumumkan sumbangan itu semasa berucap sempena sambutan Thaipusam 2026 di Thanneermalai Shree Balathandayuthapani Devastanam (Hiltop) di sini pada 1 Februari 2026.

“Pemberian sumbangan sebanyak RM240,000 ini mengambil kira kejayaan penganjuran sambutan Thaipusam selama 240 tahun di Pulau Pinang,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

c5535feb 9a5a 4a9b a975 22e1809e7a90
KETUA Menteri (tengah, berbaju batik) merakamkan gambar kenangan bersama-sama pemimpin komuniti lokal seusai acara perarakan ke perkarangan Kuil Sri Arulmigu Balathandayuthapani di sini sebentar tadi.

Di samping itu, Kon Yeow turut menyatakan komitmen Kerajaan Negeri terhadap kebajikan komuniti Hindu terus diperkukuh melalui penyaluran geran tahunan berjumlah RM2 juta kepada Lembaga Wakaf Hindu Negeri Pulau Pinang (PHEB).

“Penyaluran geran tahunan berjumlah RM2 juta sebagai komitmen berterusan dalam menjaga kebajikan rumah ibadat, di samping memperkukuh pembangunan sosial, percambahan modal insan dan kesejahteraan komuniti Hindu di negeri ini,” ujarnya.

Menyentuh mengenai perkembangan infrastruktur di Kuil Thanneermalai Shree Balathandayuthapani pula, Kon Yeow memaklumkan bahawa projek pembinaan ‘people mover’ kini memasuki fasa baharu selepas kajian kebolehlaksanaan selesai dijalankan.

Menurut beliau, projek yang diumumkan tahun lalu itu bertujuan memudahkan pergerakan pengunjung, khususnya golongan warga emas dan orang kurang upaya (OKU) untuk mendaki kuil tersebut.

“Setakat ini, syarikat berkaitan telah membentangkan tiga pilihan reka bentuk kepada Lembaga Wakaf Hindu Negeri Pulau Pinang (PHEB) untuk pertimbangan dan penelitian lanjut sebelum fasa seterusnya dilaksanakan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow turut memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri secara rasmi menyenaraikan perarakan Thaipusam sebagai salah satu daripada 16 item warisan kebudayaan tidak ketara di Pulau Pinang.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu bahawa Warta Perisytiharan bagi pengiktirafan tersebut telah diserahkan kepada Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri untuk tindakan pewartaan rasmi dalam masa terdekat.

“Kerajaan Negeri telah mengambi linisiatif untuk mengangkat item ini sebagai Warisan Negeri bukan sahaja untuk tujuan pemeliharaan dan pemuliharaan, tetapi juga mempromosikannya kepada masyarakat majmuk di dalam serta luar negeri Pulau Pinang,” jelasnya.

Turut berucap, Pengerusi PHEB merangkap Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N. Rayer.

Turut serta, barisan Exco Kerajaan Negeri; Menteri-menteri; timbalan-timbalan menteri; barisan ADUN; Ahli-ahli Parlimen dan barisan kepimpinan tempatan.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD IQBAL HAMDAN
Video : SIEW CHIA EN