Sumbangan RM50,000 khas kepada PBS Paya Terubong

Admin
KETUA Menteri (berbaju putih) pagi tadi turut meluangkan masa melihat salah sebuah jentera PBS Paya Terubong yang rosak teruk akibat ditimpa pokok pada hari kejadian baru-baru ini di sini.

AIR ITAM – Kerosakan struktur bumbung Balai Persatuan Bomba Sukarela (PBS) Paya Terubong akibat pokok tumbang dalam kejadian hujan lebat pada 1 Jun lalu memerlukan perbelanjaan kira-kira RM250,000.

Sehubungan itu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow pada pagi ini berharap lebih ramai individu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat korporat tampil menghulurkan bantuan berwajib kepada pertubuhan tersebut.

Beliau yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi berkata demikian sebelum menyerahkan RM50,000 cek replika sumbangan daripada peruntukannya sendiri kepada pertubuhan tersebut.

“Disebabkan sumbangan ini masih tidak mencukupi, saya berharap lebih ramai individu, NGO dan syarikat korporat akan tampil bagi menghulurkan bantuan,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong dalam majlis penyerahan berkaitan dekat Balai PBS Paya Terubong di sini pada 16 Julai 2022.

Exco Alam Sekitar dan Kebajikan, Phee Boon Poh; ADUN Air Itam, Joseph Ng Soon Siang; Ahli Dewan Negara, Senator Lim Hui Ying dan beberapa Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) turut sertai sidang media mempromosi kempen mengutip sumbangan yang diperlukan oleh PBS Paya Terubong tersebut.

Di samping itu, Kon Yeow turut merakamkan penghargaan kepada Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin yang juga ADUN Paya Terubong dan Soon Siang yang masing-masing turut menyumbang RM30,000, sementara RM50,000 lagi oleh Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh.

Sebelum itu, Pengerusi PBS Paya Terubong, Cheah Kok Beng memberitahu bahawa RM250,000 tersebut adalah anggaran kos projek membaik pulih struktur balai sahaja dan tidak termasuk kos membaiki kerosakan salah sebuah jentera milik pertubuhan tersebut yang turut rosak teruk akibat ditimpa pokok pada hari kejadian.

Ditubuhkan pada tahun 2003, difahamkan, PBS Paya Terubong kini mempunyai keanggotaan seramai 170 sukarelawan untuk kerja-kerja bantuan awalan bagi mencegah kebakaran atau kemusnahan harta benda dalam komuniti setempat.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS